IPOH: Tiada krisis dalam isu pelantikan hakim dan prosedur hal lantikan itu berjalan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kampar, Baldip Singh berkata, dakwaan negara berdepan krisis perlembagaan hanya berlaku apabila institusi kehakiman lumpuh, kes-kes tidak dapat didengar dan rakyat dinafikan keadilan.
“Pelantikan ini dilihat boleh selesai pada minggu depan. Jadi tiada krisis sebenarnya. Krisis akan berlaku apabila kekosongan yang berpanjangan sehingga tiada hakim untuk mendengar kes.
“Majlis Raja-Raja juga dijadualkan bersidang dari 15 hingga 17 Julai depan untuk membincangkan perkara itu. Jadi kita tidak berhadapan dengan sebarang krisis pun, itu persepsi yang perlu diberitahu kepada umum,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pejabat PKR Perak di sini hari ini.
Sidang media itu turut disertai Ketua Cabang Sungai Siput, K Novinthen; Ketua Cabang Larut, Mohd Fairuz Mohd Saari; dan Timbalan Ketua Cabang Ipoh Barat, SK Ramesh.
Menurut Baldip yang juga seorang peguam, desakan sesetengah pihak supaya Perdana Menteri tidak sepatutnya terlibat dalam proses pelantikan dalam badan kehakiman adalah tidak tepat dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Tegas beliau, Perdana Menteri memainkan peranan secara langsung dalam proses pelantikan hakim-hakim tertinggi berdasarkan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri bertindak memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Jadi jika timbul spekulasi mengatakan Perdana Menteri tidak harus terlibat, itu sama sekali tidak tepat dan perlu diperbetulkan,” katanya.
Tambahnya, Perkara 122B dalam Perlembagaan Persekutuan memperincikan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan badan kehakiman dan sebarang usaha untuk mempersoalkannya hanya akan menimbulkan kekeliruan awam yang tidak perlu.
“Perkara itu boleh disifatkan sebagai satu bentuk spekulasi tidak berasas yang perlu ditepis segera oleh rakyat yang memahami undang-undang tertinggi negara ini.
“Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara. Jika kita pertikaikan bermaksud kita menpertikaikan kuasa sedia ada yang tertinggi dalam negara,” katanya.
Kemelut pelantikan dalam badan kehakiman tercetus ekoran isu kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan berikutan persaraan wajib Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, minggu lalu.
Tun Tengku Maimun dan Abang Iskandar bersara wajib apabila mencapai usia persaraan hakim 66 tahun masing-masing pada 2 dan 3 Julai lalu. Tempoh perkhidmatan mereka tidak dilanjutkan selama enam bulan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama beberapa wakil rakyat PKR mengadakan sidang akhbar menuntut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan berhubung pelantikan hakim.
Beliau mendakwa, mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sudah dipanggil pada Jumaat lalu tanpa mematuhi keperluan notis 10 hari dengan tujuan membuat pencalonan semula bagi jawatan-jawatan yang kosong. – UTUSAN