Thailand, Kemboja setuju berdamai

Thailand, Kemboja setuju berdamai

ANWAR Ibrahim bersama Hun Manet (kiri) dan Phumtham Wechayachai selepas sidang akhbar bagi mengumumkan persetujuan untuk berdamai dan gencatan senjata antara kedua-dua negara di Putrajaya, semalam. - Pejabat Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Thailand dan Kemboja men­capai kata sepakat untuk berdamai dengan melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat susulan konflik sempadan yang berlaku di antara kedua-dua negara.

Putrajaya menjadi saksi kepada detik bersejarah itu dengan Perda­na Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkannya menerusi sidang akhbar bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai selepas sesi mesyuarat khas yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini semalam

“Perdana Menteri Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai menyatakan pendirian dan kesediaan mereka untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan kembali kepada keadaan seperti sedia kala (normalcy),” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi ASEAN mempengerusikan mesyuarat khas antara pemimpin kedua-dua negara itu bermula pukul 3.15 petang dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.

Sesi itu turut disertai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D. Kagan sebagai penganjur bersama mesyua­rat khas dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing sebagai pemerhati.

Perdana Menteri berkata, gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat itu merupakan langkah pertama yang penting ke arah penyuraian ketegangan serta pemulihan keamanan dan keselamatan.

Menurut beliau, kedua-dua negara mencapai persefahaman bersama untuk mengadakan mesyuarat tidak rasmi komander-komander serantau melibatkan Tentera Wilayah 1 dan 2 di pihak Thailand dan Tentera Wilayah 4 dan 5 di pihak Kemboja pada pukul 7 pagi ini, di­ikuti mesyuarat bersama Atase Pertahanan yang diketuai oleh Pengerusi ASEAN, jika kedua-dua pihak bersetuju.

Thailand dan Kemboja juga akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) pada 4 Ogos ini yang akan dihoskan oleh Kemboja.

“Sebagai Pengerusi semasa ASEAN, Malaysia bersedia untuk menyelaras satu pasukan pemerhati bagi mengesahkan dan memastikan pelaksanaan keputusan tersebut.

“Malaysia juga akan berun­ding dengan negara-negara ahli ASEAN lain untuk menyertai usaha pemantauan ini, sebagai mencerminkan komitmen serantau dalam menyokong ke­amanan di lapangan,” katanya.

Anwar berkata, kerjasama semua pihak menekankan komitmen bersama terhadap ke­amanan, dialog dan kestabilan serantau.

“Presiden AS, Donald Trump menghubungi pemimpin ke­dua-dua negara dan menggesa mereka mencari penyelesaian secara aman terhadap situasi ini.

“Pihak China telah menjalinkan hubungan rapat dengan Kemboja, Thailand, Malaysia dan negara-negara berkaitan untuk secara aktif mempromosikan dialog, gencatan senjata dan pemulihan keamanan,” katanya.

Anwar berkata, kedua-dua pihak turut bersetuju menyambung semula komunikasi langsung antara kedua-dua Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan.

“Menteri-menteri Luar Ne­geri dan Menteri-menteri Pertahanan Malaysia, Kemboja dan Thailand, diarahkan untuk membangunkan satu meka­nis­me terperinci bagi pelaksa­na­an, pengesahan dan pelaporan gencatan senjata ini. Meka­nisme ini akan menjadi asas kepada ke­amanan berkekalan dan akauntabiliti.

“Mesyuarat ini mengukuhkan semula tekad bersama Malaysia, Kemboja dan Thailand untuk menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, kewujudan secara aman dan kerjasama pelbagai hala dalam usaha mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap situasi ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kemboja dan Thailand berharap penyelesai­an gencatan senjata yang berjaya dicapai akan menjadi asas ke arah memulihkan hubungan di antara kedua-dua negara kepada keadaan seperti sedia kala.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet berkata, mesyuarat khas itu berakhir dengan hasil sangat positif yang diharap dapat menghentikan serta-merta pertempuran yang telah meragut banyak nyawa, menyebabkan kecederaan dan turut mengakibatkan pelarian dalam jumlah besar.

“Kami berharap penyelesaian yang baru sahaja diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi asas untuk meneruskan perbincangan dua hala ke arah memulihkan hubungan ke tahap normal, dan menjadi landasan kepada usaha pengurangan ketegangan ketenteraan pada masa hadapan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia kerana menjadi tuan rumah kepada mesyua­rat tergempar dan tepat pada masanya ini serta usaha beliau dan inisiatif peribadi beliau dalam menjadi orang tengah kepada gencatan senjata serta-merta antara Kemboja dan Thailand,” katanya.

Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Anwar Ibrahim, kerajaan Thailand dan Donald Trump.

“Hasil hari ini mencerminkan hasrat Thailand untuk mencapai penyelesaian secara aman. Sambil terus mempertahankan kedaulatan dan nyawa rakyat kami, kami bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata dengan penuh komitmen dan keyakinan bahawa ia akan dilaksanakan dengan niat yang baik oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara itu memuncak pada 25 Julai lalu sehingga mencetuskan pertempuran bersenjata di kawasan utara Kemboja.

Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu meningkat sejak 28 Mei, susulan insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan, menyebabkan kematian seorang anggota tentera Kemboja.

Kedua-dua negara telah berselisih pendapat mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad dan pertikaian ini terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.

Sehingga Sabtu lalu, jumlah kematian akibat konflik panjang antara Thailand dan Kemboja meningkat kepada 33 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×