Rusa kini semakin banyak diternak di ladang-ladang dan kawasan pinggir kampung sebagai satu bentuk penternakan komersial yang mempunyai potensi besar.
Usahawan muda, Ajmain Sanjani, 28, yang merupakan penternak di bawah bimbingan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat membuktikan rusa bukan lagi haiwan eksotik yang sukar diurus atau hanya hidup dalam koloni liar di hutan, sebaliknya boleh dijinakkan dan diternak dengan berkesan.
Tiga tahun yang lalu, Ajmain memulakan usaha menternak rusa dengan hanya 20 ekor baka Timorensis. Pada waktu itu, dia masih dalam proses menyesuaikan kaedah penternakan rusa dengan persekitaran setempat dan mencari pendekatan terbaik bagi memastikan rusa-rusanya dapat membesar dalam keadaan sihat dan produktif.
Berbekalkan semangat dan ketekunan, dia kini berjaya meningkatkan jumlah ternakan kepada lebih 100 ekor rusa di pusat ternakannya yang terletak di Kampung Endah, Kuala Langat.
Bagi Ajmain, penternakan rusa bukan sahaja memberi pulangan ekonomi yang lumayan, malah lebih mudah diurus berbanding sesetengah haiwan ternakan lain.
Rusa tidak mudah dijangkiti penyakit, menjadikannya satu pilihan yang bijak bagi mereka yang ingin menceburi bidang ternakan dengan risiko kesihatan yang lebih rendah.
Dalam aspek penjagaan, rusa tidak memerlukan perhatian yang terlalu rumit. Seperti haiwan ternakan lain, rusa memerlukan bekalan air bersih dan makanan yang berkhasiat untuk membesar dengan sempurna.
Antara makanan yang biasa diberikan ialah kacang soya, yang membantu mempercepatkan proses tumbesaran.
“Makanan seperti kacang soya perlu diberi secukupnya bagi memastikan proses tumbesaran mencapai peringkat sedia dijual selepas berusia enam bulan ke atas.
“Harga semasa seekor rusa adalah RM2,500 dan sepasang untuk baka RM5,000. Cabaran semasa harga pasaran sebenarnya tidak menentu.
“Kalau ikut harga pasaran dagingnya,ia biasa dijual RM50 sekilogram,” katanya yang menjalankan perniagaan baka dan daging rusa.
Walaupun harga pasaran tidak menentu dan penternak perlu berdepan dengan cabaran persaingan dari negeri-negeri lain, Ajmain melihatnya sebagai satu cabaran yang sihat.
Dia tidak menganggap persaingan sebagai halangan besar, malah percaya dengan pertambahan jumlah penternak, industri itu akan terus berkembang.
Pemuda itu berhasrat untuk terus memperluas penternakannya dan menjadikan rusa sebagai haiwan ternakan utama, sebaris dengan lembu dan kambing.
Tambahnya, masih ramai beranggapan rusa sebagai haiwan eksotik yang mahal dan hanya mampu dibeli oleh golongan berada.
Namun katanya, apabila lebih banyak rusa diternak dan ditawarkan di pasaran, harga akan dapat dikurangkan sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pengguna dan penternak baharu.
SETANDING TERNAKAN LEMBU, KERBAU
Sementara itu, Pengerusi PPK Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Khasbullah turut menyokong inisiatif penternakan rusa yang dijalankan Ajmain dan beberapa penternak lain di daerah tersebut.
Katanya, pasaran lembu sememangnya rancak terutama menjelang musim ibadah korban, dengan jumlah jualan mencecah hampir 800 ekor.
Namun bagi rusa, pasaran masih terhad memandangkan ia bukan haiwan yang digunakan untuk tujuan korban.
Begitupun, dia melihat potensi besar dalam industri penternakan rusa dan berharap ia dapat berkembang dengan lebih pesat pada masa hadapan.
Dalam masa sama, PPK turut memberi sokongan kepada penternak rusa menerusi pelbagai bentuk bantuan seperti kursus penternakan, nasihat teknikal, khidmat nasihat pemasaran dan juga bantuan kewangan.
Di daerah Kuala Langat kini terdapat sekurang-kurangnya tiga penternak rusa lain yang menjalankan penternakan secara kecil-kecilan, dengan jumlah ternakan sekitar 20 ekor dan ke atas. Ini menunjukkan penternakan rusa semakin diterima dan berupaya berkembang sebagai
salah satu cabang penting dalam sektor agromakanan negara.
Secara keseluruhannya, penternakan rusa bukan sahaja menawarkan potensi pulangan yang tinggi tetapi juga mewakili satu perubahan paradigma dalam dunia pertanian moden.
Daripada sekadar menjadi haiwan eksotik yang sukar ditemui, rusa kini beralih status menjadi antara pilihan ternakan yang menjanjikan masa hadapan yang cerah, khususnya bagi golongan muda yang ingin menceburi bidang keusahawanan tani.-UTUSAN











