Terkenang bapa diragut Sungai Korok

Terkenang bapa diragut Sungai Korok

NAZRIAH Abdul Razak mengimbau kembali cerita duka kehilangan bapanya 37 tahun lalu akibat kemalangan di tempat sama dengan tragedi enam beranak lemas di Sungai Korok, Jitra. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Tragedi menyayat hati enam sekeluarga maut selepas kereta mereka terbabas ke dalam Sungai Korok, Isnin lalu mengundang pilu seorang wanita yang pernah melalui detik sama 37 tahun lalu.

Nazriah Abd. Razak, 46, berkata, kejadian tersebut mengimbau kembali detik hitam apabila bapanya, Allahyarham Abd. Razak Osman, terkorban dalam kemalangan di lokasi sama pada 15 Jun 1988.

“Masa itu ayah bersama dua rakan dari Felda Chuping ke Alor Setar dan mereka mahu singgah di Jitra. Kereta terbabas ke dalam sungai kira-kira pukul 6 pagi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dia yang ketika itu berusia sembilan tahun tidak ke sekolah kerana demam dan sempat bertanya sama ada boleh ikut bapanya keluar.

“Ayah kata kalau sihat boleh ikut, tapi akhirnya dia pergi sendiri. Dua anggota polis datang ke rumah pukul 8 pagi maklumkan ayah sudah tiada. Mak pengsan sebaik terima berita itu,” katanya mengimbau kenangan.

Mayat bapanya ditemukan di tempat duduk belakang dan dikebumikan di Pokok Sena. 

Tragedi berkenaan memberi kesan mendalam terutama kepada ibunya, Khatijah Abdullah, 72, dan adik bongsu yang ketika itu baru berusia dua tahun.

“Kedua-duanya trauma dan terpaksa dibawa berubat. Hampir setahun baru pulih,” katanya.

Nazriah berkata, setiap kali melalui laluan tersebut, dia akan lebih berhati-hati kerana jalan itu lurus dan gelap pada waktu malam, berisiko menyebabkan pemandu tertidur (microsleep).

“Kejadian baru-baru ini benar-benar menyentuh hati. Saya terbayangkan bayi dan anak-anak kecil yang turut terkorban, sama seperti arwah ayah dulu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN