Tentera maut, motosikal bertembung kereta

Tentera maut, motosikal bertembung kereta

KEADAAN motosikal mangsa yang mengalami kerosakan pada bahagian hadapan selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tangga Batu, Tanjong Kling, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Tangga Batu, Tanjong Kling di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Muhammad Haqimy Mohd. Amin, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menghala ke lampu isyarat Tangga Batu.

“Setiba di lokasi, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Gen 2 yang datang dari arah bertentangan telah membelok ke arah kanan jalan untuk memasuki simpang. Mangsa yang tidak sempat mengelak telah melanggar bahagian hadapan kereta tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan maut di lokasi manakala pemandu kereta lelaki berusia 31 tahun tidak cedera. Mayat mangsa diserahkan kepada Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan polis akan mengambil sampel air kencing pemandu kereta,” katanya kepada pemberita.

Tambah Christopher, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di laluan satu lorong dua hala sementara keadaan cuaca baik, gelap dan mempunyai lampu jalan.

“Tiada rakaman kamera papan pemuka, kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi bebas tampil memberi keterangan lanjut mengenai kejadian. Kenderaan terlibat ditahan di Balai Polis Malim dan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk siasatan lanjut. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN