KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pempengaruh media sosial, Agy, mengakui usia 30 menjadi titik refleksi penting buat dirinya apabila dia akhirnya memilih untuk berdamai dengan trauma masa lalu.
Dedah Agy atau nama sebenarnya,Muhammad Affizy Mohd Khairy, bertahun-tahun dirinya bergelut dengan tekanan emosi dan apabila menerima banyak kecaman dan kritikan sejak bergelar selebriti, perkara itu baginya telah menambah lagi rasa‘sakit’ yang ditanggung.
“Saya pernah terfikir, kenapa ada orang tak suka saya, walaupun saya tak kacau sesiapa. Sampai satu tahap, saya rasa mungkin saya tak cukup bagus untuk teruskan dalam industri ini.
“Saya tak nafikan, di awal kemunculan, hati saya rapuh dan mudah terluka dengan komen-komen negatif. Lama-kelamaan, saya belajar untuk menjadi lebih kuat dan sedar bahawa penerimaan orang bukan sesuatu yang boleh dipaksa,”katanya.
Bagaimanapun, Agy bersyukur kerana mendapat sokongan berterusan daripada keluarganya, terutama ibu bapa, keluarga dan bapa saudaranya yang dipanggil Pak Long.
Kata Agy, mereka sentiasa menjadi tulang belakang meskipun mereka sendiri turut terkena tempias apabila namanya dipetik dalam kontroversi atau kecaman di alam maya.
“Saya kasihan pada keluarga. Mereka tak pernah salah, tapi nama mereka terpalit sama bila saya dikritik. Tapi mereka tetap ada di belakang saya, tanpa syarat,”ujarnya lagi.
Mengenang zaman kecil, Agy berkata, dia bukan pelajar yang menonjol, malah semasa di bangku sekolah rendah, dia tidak pernah meraih sebarang pencapaian membanggakan selain sering merasa terpinggir.
Kata Agy, hanya apabila memasuki alam sekolah menengah,m baharulah dia mula mengenal potensi dirinya dan lebih berani keluar dari perasaan sunyi.
Katanya, pengalaman-pengalaman lalu yang disangka telah lama ditinggalkan sebenarnya masih hidup dalam dirinya sehingga membentuk satu lapisan luka jiwa yang tidak pernah sembuh.
Mengambil langkah dan inisiatif sendiri, jelas Agy, dia berusaha mencari jalan mengubah situasi itu dengan menjalani sesi khas bersama Dr. Hisham Dzakiria atau lebih dikenali sebagai Dr.Healing.
“Selama ini, saya banyak simpan semuanya sendiri. Saya jarang menangis depan orang. Menerusi sesi itu, saya lihat satu pendekatan yang dijalankan adalah teknik ‘melepaskan botol’, di mana saya diberikan sebotol air dan diminta untuk memegang serta memindahkan segala beban emosi ke dalam botol tersebut secara simbolik.
“Ia dilakukan dalam keadaan reflektif dan penuh tumpuan sebagai satu bentuk pelepasan sedar terhadap trauma atau perasaan yang tidak pernah diluahkan.
“Bagi saya pengalaman itu sesuatu yang luar biasa. Tangan saya jadi kebas sewaktu proses berlangsung, namun pada masa sama saya merasai kelegaan yang tak pernah dialami sebelum ini,”katanya.
Selain itu, Agy mengakui kini mula melihat kehidupannya dari perspektif yang lebih tenang
dan matang.
Malah, dalam perkembangan kerjaya, Agy berkata, dia juga merancang beberapa projek baharu sepanjang tahun ini, termasuk pelancaran single terbarunya yang berjudul Jadi Aku.
Lagu tersebut, kata Agy cukup dekat dengan jiwanya kerana menggambarkan proses menerima diri sendiri dan berdamai dengan siapa dirinya yang sebenar.
“Jadi Aku bukan sekadar lagu, ia cermin perasaan saya yang sebenar. Liriknya mengenai keinginan untuk difahami, tentang luka, tentang kekuatan yang lahir dari keikhlasan. Saya harap bila orang dengar, mereka akan rasa sesuatu.
“Tetapi apa pun, saya tak minta semua orang suka saya. Tapi kalau ada yang sudi terus sokong, saya hargai sangat.
“Saya akan terus belajar jadi lebih baik, bukan saja dalam kerjaya, tapi juga sebagai individu,” katanya. -UTUSAN