Tasik Cermin tarikan tersembunyi Bukit Ibam

Tasik Cermin tarikan tersembunyi Bukit Ibam

TASIK Cermin mampu menjadi destinasi tumpuan baharu pelancong di Bukit Ibam, Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Kejernihan Tasik Cermin yang tersembunyi di bekas kawasan perlombongan bijih besi Bukit Ibam di sini bagaikan lukisan semula jadi yang memukau menjadikannya potensi tarikan pelancongan luar biasa di tenggara Pahang.

Penduduk, Norashimah Sidek, 33, berkata, keindahan tasik itu menjadi tempat santai bagi menikmati panorama alam, namun dia kecewa kerana masih tiada pihak tampil mempromosikannya secara serius.

“Ramai orang luar tak tahu. Bukit Ibam ini indah tetapi seperti dilupakan. Kalau digilap, ia boleh menjadi tarikan utama pelancong dan memberi nafas baharu kepada pekan ini yang hampir mati,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bukit Ibam pernah digelar ‘Little England’ pada era 1950-an hingga 1970-an, ketika syarikat perlombongan Inggeris menggali hasil bumi yang kaya dengan bijih besi. Kini, tinggal hanya kesan-kesan sejarah dan struktur tinggalan yang semakin dilupakan.

Bagi Syed Baharuddin Syed Hussain, 78, yang menetap di Bukit Ibam sejak 1968, pekan ini pernah menjadi pusat pentadbiran penting dan sibuk setanding Sungai Lembing yang terkenal dengan bijih timah.

“Dulu sini ada landasan kereta api ke Rompin, bijih besi dibawa terus ke pelabuhan untuk dihantar ke England. Syarikat luar kaut habis hasil, lepas tu tinggal kita orang kampung tenung bukit kosong,” ujarnya yang juga bekas kakitangan teknikal sebuah syarikat perlombongan.

Dia menyifatkan penemuan tasik seperti Tasik Cermin, Tasik Hijau dan Tasik Biru sebagai ‘permata baharu’ Bukit Ibam yang mampu menghidupkan semula ekonomi tempatan melalui pelancongan berasaskan alam.

“Bukit Ibam juga pernah menjadi nadi pembangunan wilayah tenggara Pahang apabila menjadi lokasi asal Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA), lengkap dengan pejabat MARDI, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pelbagai agensi sokongan lain.

“Segalanya berubah apabila DARA dipindahkan ke Muadzam Shah sebelum dibubarkan. Sejak itu, tiada lagi agensi kerajaan yang benar-benar mengambil berat atau menyusun semula pelan pembangunan untuk kawasan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN