Tarif AS 25 peratus jejas ekonomi Pulau Pinang

Tarif AS 25 peratus jejas ekonomi Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) ketika menghadiri majlis menandatangani program Sukuk Wakalah PBAPP, di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Tarif baharu Amerika Syarikat (AS) 25 peratus ke atas barangan dari Malaysia bermula 1 Ogos memberi kesan kepada ekonomi Pulau Pinang yang sangat bergantung kepada eksport dan berkait rapat dengan rantaian nilai global.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang menyumbang 55 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia ke AS dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini dengan nilai mencecah RM52 bilion.

“Sebahagian besar eksport ini pula datang daripada syarikat multinasional AS yang beroperasi di Pulau Pinang, khususnya dalam penghantaran produk siap atau komponen ke syarikat induk mereka,” katanya selepas majlis menandatangani program Sukuk Wakalah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di sini, hari ini.

Tarif import sebanyak 25 peratus itu dipercayai sebahagian daripada usaha yang diambil oleh AS untuk ‘melindungi’ industri tempatan negara tersebut daripada amalan perdagangan yang disifatkan tidak adil oleh beberapa negara sebelum ini.

Kon Yeow berkata, jentera dan kelengkapan elektrik merangkumi 77 peratus daripada eksport Pulau Pinang ke AS, dengan industri semikonduktor menjadi penyumbang utama.

“Walaupun produk semikonduktor dikecualikan daripada tarif buat masa ini, pelaksanaan tarif 25 peratus secara umum tetap membawa risiko ekonomi yang besar,” katanya.

Katanya, perbezaan kadar tarif antara negara-negara anggota ASEAN berpotensi mengganggu dinamik perdagangan serantau dan boleh mempengaruhi keputusan pelaburan jangka panjang oleh syarikat antarabangsa.

Beliau meminta Kerajaan Pusat agar segera mengatur perbincangan diplomatik dengan AS bagi merundingkan kadar tarif lebih rendah selain memberi perhatian kepada isu-isu bukan tarif, dasar perdagangan dan halangan lain yang boleh menjejaskan daya saing Malaysia.

“Pulau Pinang akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Pusat serta pemain industri bagi melindungi kepentingan ekonomi negara.

“Kerajaan negeri juga komited untuk mempertingkatkan infrastruktur, memperkemas proses perniagaan serta menambah baik kos menjalankan perniagaan agar kekal menjadi hab penting dalam rantaian bekalan global,” katanya yang berharap langkah itu dapat memastikan daya tahan ekonomi negeri dan negara dapat terus dipertahankan untuk jangka panjang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN