HULU TERENGGANU: Taman Tema Air di Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS), di sini yang ditutup sejaktiga tahun lalu selepas tragedi banjir besar kembali dibuka bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, pembukaan semula itu diharapkan secara tidak langsung mengembalikan kegemilangan TPNS sebagai antara lokasi pelancongan agrotourism terkenal di Terengganu.
“Banjir besar yang melanda 2022, fenomena kepala air serta serangan gajah liar di kawasan TPNS ini menjejaskan banyak infrastruktur termasuk taman tema air di sini.
“Kerajaan negeri memperuntukan kira-kira RM2 juta bagi kerja-kerja pemulihan secara berperingkat dengan fokuskan perkara yang memberikan impak besar atau daya tarikan utama di sini.
“Selain baik pulih taman tema air yang sudah mula dibuka hari ini, kita juga membaik pulih tebing sungai dan tapak perkhemahan selain kemudahan lain seperti tapak motorhome atau karavan,” katanya pada majli perasmian pembukaan taman tema itu.
Menurut Azman, buat masa ini tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke TPNS cuma dikenakan terhadap aktiviti tertentu seperti sewaan tapak khemah. – UTUSAN











