PETALING JAYA: Sebanyak 1,500 ekor benih ikan Pelian dilepaskan ke Sungai Onggom Kampung Tiong, Sabah sebagai usaha bagi memperluas pelaksanaan sistem pengurusan perikanan berasaskan komuniti dalam kalangan masyarakat luar bandar di negeri ini.
Sistem yang turut dikenali sebagai Tagal Tradisi itu dilaksanakan menerusi pelaksanaan Projek Pembangunan dan Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat Mampan di bawah Jabatan Perikanan Malaysia.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pelaksanaan sistem itu di Kampung Tiong melibatkan seramai 17 orang Jawatankuasa Tagal yang bertanggungjawab menyelaras pemuliharaan sungai secara tradisi dan berstruktur.
Kata beliau, ia diwujudkan bagi meningkatkan semula populasi ikan di sungai, di samping memupuk semangat kawalan kendiri, gotong-royong dan pemuliharaan dalam kalangan penduduk kampung.
“Usaha ini juga membuka potensi kepada aktiviti eko-pelancongan dan pendidikan alam sekitar pada masa hadapan.
“Pelaksanaan sistem tagal di Kampung Tiong mencontohi kejayaan sistem serupa di Kampung Sosogoh, Pagalungan, Nabawan yang kini menjadi salah satu lokasi rintis Program PINTAR.
“Sejak dilancarkan pada Ogos 2024, tagal tersebut telah mencatatkan lebih 480 pengunjung dan menjana pendapatan setempat melalui pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, kejayaan sistem tagal bukan sekadar bergantung kepada keadaan sungai, tetapi berteraskan semangat komuniti, nilai gotong-royong, kawalan kendiri dan kesepakatan dalam memelihara sumber semula jadi.
Tambah beliau, pendekatan berasaskan komuniti ini bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian biodiversiti sungai, malah berpotensi membuka ruang kepada pelancongan, pendidikan alam sekitar dan pembangunan ekonomi luar bandar.
“Pendekatan berasaskan komuniti ini sejajar dengan dasar keterjaminan makanan negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 14: Life Below Water), sekaligus memperkukuh agenda pemuliharaan dan pembangunan luar bandar secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN