Syarikat ais, pengeluar makanan sejuk beku tangguh naik harga produk

Syarikat ais, pengeluar makanan sejuk beku tangguh naik harga produk

ARMIZAN Mohd Ali bersalaman dengan pegawai KPDN ketika hadir pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Penguatkuasaan di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua buah syarikat iaitu syarikat pengeluar ais dan syarikat pengeluar makanan sejuk beku tempatan bersetuju untuk menangguhkan kenaikan harga produk masing-masing, selepas dipanggil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memberikan penjelasan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, selepas mendapat penjelasan penuh daripada kedua-dua syarikat berkenaan dalam pertemuan pada Selasa, KPDN telah memberikan nasihat yang sewajarnya kepada mereka.

Menurut beliau, pertemuan itu diadakan susulan tular dakwaan yang mengaitkan kedua-dua syarikat berkenaan bakal menaikkan harga produk mereka susulan pengumuman semakan kadar Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST).

“Kedua-dua syarikat telah memaklumkan (dalam pertemuan) pada 1 Julai bahawa mereka menangguhkan terlebih dahulu kenaikan (harga), pertukaran kepada harga tersebut (akan dibuat) pada satu tarikh yang mereka akan umumkan kemudian.

“Jadi kita telah memberikan nasihat kepada mereka, sekiranya benar mereka ingin menaikkan harga tersebut ada maklumat-maklumat tertentu yang mereka perlu bekalkan, yang dituntut melalui Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti-pencatutan (AKHAP) 2011,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Rakan Strategik Penguatkuasaan sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan tular membabitkan kedua-dua syarikat berkenaan yang akan menaikkan harga produk mereka susulan pengumuman peluasan skop SST.

Terdahulu, tular satu memo sebuah syarikat pengeluar ais berhubung kenaikan harga produk mereka iaitu ‘block ice (ais ABC)’ dipercayai daripada RM3.70 kepada RM6 bermula 1 Julai.

Selain itu, turut tular notis kenaikan harga membabitkan jenama burger tempatan terkenal yang memaklumkan pelanggan mereka bermula 10 Julai depan terdapat kenaikan harga jualan menu disebabkan harga kos bahan mentah.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, menerusi pertemuan itu, kedua-dua syarikat berkenaan juga tidak menyatakan bahawa peluasan skop SST sebagai alasan untuk menaikkan harga produk tersebut.

Jelas beliau, antara alasan yang disebut adalah berkaitan dengan kos operasi syarikat.

“Kedua-dua pihak tidak menyebut SST sebagai alasan kepada kenaikan tersebut dan mereka menyebut antaranya adalah kos operasi,” ujarnya.

Armizan turut menegaskan KPDN akan melaksanakan langkah pemantauan dan siasatan secara telus bagi menangani sebarang unsur pencatutan, sekali gus memastikan pengguna tidak terbeban tanpa asas munasabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN