TANGKAK: Seorang suri rumah mengalami kerugian apabila wang simpanan berjumlah RM26,060 lesap akibat terpedaya dengan peraduan cabutan bertuah dalam aplikasi TikTok, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib berkata, wanita berusia 55 tahun itu dalam laporannya semalam memaklumkan berminat untuk menyertai peraduan itu apabila melihat iklan dalam aplikasi itu yang menjanjikan keuntungan sehingga ratusan ribu ringgit.
“Suspek kemudian berjaya mempengaruhi mangsa dengan mengarahkannya untuk berhubung menerusi satu nombor WhatsApp yang diberikan. Mangsa telah melakukan 12 transaksi secara berperingkat-peringkat bermula dari 8 hingga 15 Julai lalu ke dalam enam akaun berbeza.
“Suspek telah dikenal pasti, namun tangkapan masih belum dibuat kerana perlu melengkapkan proses siasatan dahulu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat dan didenda, jika sabit kesalahan.
Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat. – UTUSAN