TANJUNG MALIM: Bantuan sekali bayar atau one-off sebanyak RM1,000 seorang di bawah Insentif Siswa Yayasan Perak (INSISYP) kepada anak Perak yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meringankan beban pelajar terlibat dan ibu bapa mereka.
Bagi yang menerima bantuan itu, ia sangat diperlukan terutama bagi keluarga berpendapatan rendah dan mereka tidak lagi bimbang mengenai perbelanjaan harian.
Bantuan kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche Daerah Muallim sebagai Bandar Mesra Belia Tanjung Malim dengan tumpuan pertanian, perniagaan dan perkhidmatan.
Ia juga menepati flagship kelima Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Muhammad Muqri Zaili Khusairi, 21, yang menerima bantuan tersebut berkata, insentif yang bersifat proaktif itu membantu meringankan beban kewangan keluarganya.
Anak sulung daripada empat adik beradik itu berkata, bapanya bekerja sebagai pemandu van manakala ibu sebagai guru KAFA di sebuah sekolah agama di Seri Iskandar, Parit, dengan pendapatan yang rendah.
“Mujur semasa awal semester, permohonan saya untuk mendapatkan insentif INSISYP diterima dengan bantuan sebanyak RM1,000 yang membolehkan ayah membayar yuran pendaftaran selain dapat membeli barangan keperluan lain,” katanya ketika ditemui di Dewan Kuliah Pusat, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di sini.
Bagi mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajian Malaysia), Wan Zulaiqah Mior Mohd. Zaini, 20, yang berasal dari Sauk, Kuala Kangsar, insentif itu melonjakkan impiannya untuk menjadi seorang pendidik yang berbakti kepada rakyat Perak.
“Sememangnya sejak kecil saya memasang impian untuk menjadi seorang guru. Sebaiknya, ingin mengajar anak negeri sendiri dengan penuh dedikasi supaya dapat melahirkan lebih ramai golongan profesional dan berpendidikan tinggi.
“Saya juga aktif terlibat dalam kegiatan mahasiswa di UPSI selain mempelajari bidang fotografi yang merupakan cabang dunia kreatif yang boleh menjana pendapatan sampingan pada masa depan,” kata anak kepada pesara kerajaan itu.
Dalam pada itu, S. Madhumita, 21, yang berasal dari Chemor, Ipoh tidak dapat melupakan jasa Yayasan Perak kerana sebahagian besar wang insentif itu dapat digunakan untuk membeli kelengkapan utama pengajiannya iaitu sebuah komputer riba.
“Memang hanya RM1,000 tetapi keluarga saya bukan orang senang. Sebelum menuntut di UPSI, saya berkongsi komputer riba dengan ayah, sekarang ada yang baharu serta canggih.
“Komputer riba ini penting kerana selain kelas fizikal, ada juga secara dalam talian malah ia ibarat satu keperluan utama sekarang terutama melibatkan mahasiswa untuk melakukan tugasan dan pembelajaran,” ujarnya yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Tamil). – UTUSAN