PUTRAJAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bimbang terhadap kekuatan ummah yang semakin runtuh disebabkan perlakuan umat Islam dan orang Melayu yang saling membuka kelemahan serta mencemarkan imej sesama sendiri.
Baginda bertitah, pada ketika ini mereka semakin berlumba-lumba untuk mendedahkan kelemahan sesama sendiri, saling melukis wajah siapa yang lebih hodoh, saling menepuk air di dulang untuk terpercik di muka sendiri.
Titah baginda, jika keadaan ini berlarutan, umat Islam dan orang Melayu tidak lagi memerlukan musuh dari luar untuk memusnahkan kesucian Islam dan mencemarkan maruah bangsa.
“Ketika bangsa tersilap tanggapan bahawa dirinya telah begitu kehadapan dalam era modenisasi dan globalisasi, ada baiknya diingatkan untuk mereka kembali ke pangkal jalan dan pesanan orang tua-tua, ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali’.
“Bangsa jangan hendaknya hilang kearifan, menjadi pandir, hingga terlihat mencari bayang ketika malam, menyalakan pelita ketika rembang, berakhir dengan senario ‘menang sorak kampung tergadai’,” titah baginda dalam ucapan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) Ke-73 di sini semalam.
Yang turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah, falsafah perpaduan yang digambarkan melalui perbilangan adat perpatih itu diadaptasi oleh orang Melayu, lalu terbina satu tenaga yang dihormati, memiliki kegagahan untuk mempertahankan kesucian agama dan maruah bangsa, berupaya untuk menyebarkan syiar Islam dan mengangkat martabat bangsa.
Titah Sultan Nazrin, ‘DNA’ kekuatan yang ada pada pemimpin Melayu Islam pada era pramerdeka dan pascamerdeka dan pada era pra dan pasca penubuhan Malaysia adalah terletak pada kepercayaan rakyat terhadap sifat jujur, pengorbanan ikhlas dan kesungguhan perjuangan barisan pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat.
Ini termasuk barisan pemimpin yang menghayati denyut nadi dan jantung rakyat, barisan pemimpin yang tertitis air matanya apabila melihat kesusahan dan kedaifan rakyat serta barisan pemimpin yang mengotakan apa yang dikata.
Barisan pemimpin ketika itu berintegriti, amanah, tidak salah guna kuasa dan bebas rasuah.
“Dalam era tersebut, orang Melayu kekal bersatu dalam perkara prinsip menyentuh martabat dan maruah bangsa dan umat Islam bersatu teguh mempertahankan perkara pokok yang menyentuh kesucian Islam.
“Orang Melayu pada ketika itu turut bersedia menerima kepelbagaian serta menghormati perbezaan,” katanya.
Titah baginda, orang Melayu dan umat Islam ketika itu berjiwa besar, terbuka sifatnya, luas pandangannya, lebih yakin kepada dirinya lalu mencerminkan sifat kesederhanaan, menolak budaya ekstrem dan tidak mudah melatah mensensasikan perkara remeh.
Meskipun berlainan pandangan dan kabilah politik, memilih untuk tidak berpatah arang, berkerat rotan, sebaliknya memilih berdiskusi dan berdialog secara rasional lagi bertamadun selaras dengan sifat ilmuwan dan ajaran agama yang menyeru ummah menemui kebenaran dalam semangat nasihat-menasihati.
“Ketika kita melangkah masuk ke tahun baharu Hijrah dan menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ke-68, ada baiknya untuk ummah melakukan muhasabah diri supaya tidak berakhir dengan keadaan yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.
“Umat Islam dan orang Melayu hari ini janganlah tersalah sukat, janganlah tersilap bacaan, merasakan diri terlalu hebat, tersangat gagah.
“Umat Islam dan orang Melayu muncul sebagai tenaga pimpinan yang kuat di bumi ini pada era pra dan pascamerdeka kerana mereka pada ketika itu menyedari kelemahan dan kekurangan ummah dan bangsanya,” titah baginda. – UTUSAN










