Stor rokok, minuman keras RM10.5 juta di Sarawak digempur, tiga ditahan

Stor rokok, minuman keras RM10.5 juta di Sarawak digempur, tiga ditahan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga lelaki ditahan selepas stor pelbagai jenis minuman keras dan rokok tidak bercukai bernilai RM10.5 juta di Kuching, Sarawak digempur pihak berkuasa semalam.

Operasi menerusi Op Taring Alpha 1 dan 2 dijalankan secara serentak di dua lokasi berasingan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) melalui risikan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarawak.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, lelaki terbabit merupakan dua warganegara dan seorang warga Indonesia berusia 30 sehingga 64 tahun.

Beliau berkata, hasil serbuan di lokasi pertama, sebanyak 648 liter minuman keras jenis Liquor disyaki tidak bercukai telah dirampas.

“Turut dirampas 90,000 batang rokok putih, rokok kretek pelbagai jenis (51,200 batang); telefon bimbit (satu) dan serangkai anak kunci rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata Azmi, dalam serbuan kedua pula,  sebanyak 4.19 juta batang rokok putih dirampas selain rokok kretek (24,320 batang), serangkai anak kunci rumah dan van jenama Toyota Hiace.

“Aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok, minuman keras tidak bercukai merupakan salah satu ancaman terbesar terhadap ekonomi, sumber pendapatan negara.

“Kegiatan ini sekiranya tidak dibanteras mampu mengancam keselamatan sempadan negara,” katanya.

Azmi berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Azmi berkata, sebanyak 155 serbuan telah dilakukan di seluruh negara dan 236 orang ditahan sejak Januari hingga semalam atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak bercukai, barangan kawalan dan bersubsidi serta penjualan senjata tiruan. 

Selain itu, serbuan dan tangkapan turut melibatkan penyeludupan hidupan luar dan operasi e-Waste bernilai RM 443.85 juta.

“Kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada PDRM amat digalakan dalam memastikan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN