KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tiada tindakan pendakwaan atau penalti akan dikenakan terhadap pemain industri pembinaan berhubung pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga 31 Disember 2025.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu bertujuan memberi ruang dan peluang kepada semua pihak dalam sektor pembinaan untuk bersedia secara menyeluruh dan memastikan pelaksanaan sistem percukaian itu berjalan lancar.
“Kerajaan komited untuk tidak mengambil sebarang tindakan pendakwaan atau penalti sehingga hujung tahun ini supaya industri mempunyai masa mencukupi bagi menyesuaikan sistem serta memperkemas proses pendaftaran dan pelaporan cukai SST,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Yusuf Abd. Wahab (GPS-Tanjong Manis) berhubung kategori projek pembinaan dikecualikan daripada SST, langkah memastikan projek-projek sedia ada tidak terkesan dengan pelaksanaannya dan pemberian tempoh tangguh sebelum mengenakan cukai SST ke atas sektor pembinaan.
Ahmad berkata, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi mengurangkan kesan SST terhadap industri pembinaan termasuk mengecualikan perkhidmatan pembinaan bagi projek kediaman dan kemudahan awam seperti rumah ibadat, tandas awam dan taman rekreasi.
“Selain itu, bahan binaan asas seperti simen, batu kerikil dan pasir juga kekal berkadar sifar atau zero rated di bawah cukai jualan bagi memastikan kos pembinaan tidak meningkat secara mendadak,” ujarnya.
Beliau berkata, aktiviti perniagaan bagi perniagaan B2B terpilih tertaluk kepada pematuhan syarat-syarat yang tertentu.
“Sebagai contoh, kontraktor utama dikenakan SST, namun pengecualian diberikan kepada subkontraktor yang nilai perkhidmatanya di bawah RM1.5 juta,” ujarnya.
Katanya lagi, bagi projek sedia ada yang tidak membenarkan semakan semula kontrak, kerajaan memberikan pengecualian SST selama setahun sebagai langkah transisi yang adil.
“Galakkan ini adalah sebahagian daripada langkah kerajaan dalam memastikan industri pembinaan mempunyai masa mencukupi dan menyesuaikan sistem memperkemas proses pendaftaran serta mendapatkan penjelasan tepat mengenai pelaksanaan SST yang bermula pada 1 Julai lalu.
“Kerajaan faham keperluan industri untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Justeru, kita berikan kelonggaran bagi mengurangkan beban serta memastikan kelangsungan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN








