SEREMBAN: Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tunku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang dan SMT Alor Setar, Kedah berjaya merangkul pingat emas dalam pertandingan inovasi Karnival SMT Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di SMT Tuanku Jaafar di sini.
Pasukan SMT Tunku Abdul Rahman Putra memenangi pingat emas menerusi penciptaan Inexpensive Joint (I Joint) iaitu inovasi penyambung yang berkonsepkan buat sendiri (DIY) bagi menggantikan teknik kimpalan sekali gus mampu menjimatkan kos.
Menurut wakil kumpulan, Nurul Alya Mad San, 16, inovasi tersebut adalah bagi menggantikan proses kimpalan dan peralatan berat yang biasa digunakan dalam kerja pertukangan dengan menggunakan bahan terpakai serta mesra alam.
“Inovasi yang kami hasilkan ini untuk membantu pengguna yang tiada kemahiran dalam pertukangan asas seperti suri rumah dan pelajar untuk menghasilkan sendiri perabot seperti kerusi dan meja di rumah.
“Penyambung yang kami hasilkan menggunakan aluminium berbentuk H dimana ia bukan sahaja mudah dipasang tetapi juga kukuh. Ia juga boleh menampung berat sehingga 120 kilogram (kg) bergantung kepada bahan yang digunakan,” katanya.
Nurul Alya berkata, projek tersebut dihasilkan bersama rakannya, Nur Aleesya Aina Zuriman,16, serta dibimbing oleh guru, MD Naseer Tarp, 58.
Menurut Nur Aleesya Aina, mereka turut mengambil langkah proaktif dengan mendaftarkan hak cipta reka bentuk bagi melindungi inovasi mereka, termasuk kaedah pemasangan dan bentuk ‘H’.
Sementara itu, pasukan SMT Alor Setar memperkenalkan inovasi Automated Pcage – Smart Poultry Cage Using ESP 32 & Application atau sangkar automatik yang direka khas bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan ternakan seperti anak ayam, ayam dan burung puyuh.
Wakil kumpulan, Sharifah Nur Ain Al Junid Syed Saggaf, 16, berkata, inovasi itu timbul menerusi pengalaman sebenar mereka menyaksikan 28 ekor anak ayam yang diternak mati dalam tempoh dua hari akibat suhu tidak stabil.
“Selain itu, kami juga mendapati ramai penternak menghadapi kesukaran dalam mengurus suhu ternakan terutama waktu subuh.
“Apabila guna alat pemanas biasa (mentol), anak ayam akan berkumpul dan bertindih untuk mencari haba lalu menyebabkan kematian akibat berhimpit dengan anak ayam yang lain.
“Sebagai penyelesaian, kami membangunkan sangkar pintas yang dilengkapi pad pemanas, kamera litar tertutup (CCTV), penyembur mikroorganisma berkesan (EM) serta sistem memberi makanan dan minuman automatik,” katanya.
Sharifah Nur Ain Al Junid berkata, segalanya bokeh diuruskan dari jauh melalui aplikasi telefon pintar ‘Blink’ di mana mereka boleh menguruskan ternakan dari jarak jauh sekali gus dapat menjimatkan tenaga fizikal yang banyak.
Lebih menarik, sistem ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada haiwan ternakan, malah turut memanfaatkan najis haiwan untuk dijadikan sebagai baja organik menerusi proses pengeringan oleh pad pemanas sekali gus dapat menghapuskan bau busuk dari sangkar tersebut.
Menurut guru pengiring, Norhayati Ahmad, 44, sangkar automatik tersebut juga didaftarkan dan dianugerahkan Sijil Pemilikan Harta Intelek (IPO), sekali gus membuka laluan ke arah pengkomersialan. – UTUSAN










