KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini memuktamadkan penyelarasan bagi pengambilan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) menerusi satu sistem tunggal dan satu tawaran penempatan sahaja.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyelarasan tersebut akan berkuatkuasa tahun depan, selaras dengan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem pendidikan yang lebih teratur dan saksama.
“Sebelum ini, pelajar berpotensi menerima lebih daripada satu tawaran, menyebabkan banyak ruang pembelajaran tidak diisi apabila tawaran ditolak. Ini menafikan peluang kepada pelajar-pelajar lain yang juga layak.
“Melalui sistem tunggal ini, pengagihan tempat akan menjadi lebih adil dan inklusif, khususnya untuk pelajar cemerlang dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah, selari dengan dasar keutamaan kepada golongan B40,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan SBP dan MRSM di Bilik Mesyuarat,di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, sistem kemasukan ke MRSM dan SBP akan diselaraskan mulai pengambilan Januari tahun hadapan.
Katanya, pemohon masih boleh memohon ke kedua-dua institusi pendidikan tersebut namun selepas ini mereka hanya akan menerima satu tawaran sahaja bagi mengelakkan pertindihan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut berkata, penyelarasan ini juga dilakukan bagi mengelakkan pertindihan tawaran dan memastikan setiap tempat diisi oleh pelajar yang benar-benar layak.
“Lazimnya dalam 10 peratus ke 15 peratus dan kita akan sibuk menerima surat-surat rayuan. Lazimnya kita juga tidak dapat menyemak kerana data yang tidak diselaraskan.
“Tetapi dengan adanya penyelarasan ini mungkin jumlah rayuan yang diterima tidak signifikan,” ujarnya.
Mengulas daripada segi pengambilan pelajar, Ahmad Zahid turut berkata, dasar sedia ada akan dikekalkan dimana 60 peratus pengambilan pelajar akan melibatkan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dengan keutamaan diberikan kepada pemohon dari luar bandar dan kawasan miskin bandar.
Katanya, dasar tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh mobiliti sosial melalui pendidikan.
“Pemilihan akan terus menggunakan kaedah Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), dengan platform atas talian yang seragam antara Mara dan Kementerian Pendidikan.
“Bagi pelajar sekolah swasta yang tiada dalam sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), permohonan masih boleh dibuat melalui sistem MyMRSM,” ujarnya.
Katanya, beliau yakin penyelarasan tersebut merupakan langkah ke hadapan dalam menyusun semula ekosistem pendidikan berasrama penuh negara agar lebih cekap serta memberi peluang saksama kepada semua anak Malaysia. – UTUSAN










