Sindiket judi berselindung sebalik syarikat sah dibongkar

Sindiket judi berselindung sebalik syarikat sah dibongkar

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis membongkar kegiatan mempromosi aktiviti perjudian dalam talian dipercayai berselindung di sebalik nama syarikat sah dengan penahanan enam wanita tempatan di Bukit Jalil di sini, Isnin lalu.

Serbuan Op Dadu itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik Bukit Aman kira-kira pukul 6.40 petang.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya berjaya menahan enam wanita tempatan disyaki mengurus, menganjur dan mempromosikan perjudian dalam talian.

Menurutnya, pelbagai barang dirampas antaranya komputer riba, telefon bimbit dan modem.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada tangkapan dipercayai berperanan sebagai pengurus dan pemilik premis, manakala lima lagi merupakan pekerja.

“Kegiatan pusat panggilan (calling centre) ini disyaki mula beroperasi sejak enam bulan lalu dengan menjadikan sasaran pelanggan warga tempatan dan Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pekerja terbabit dipercayai dibayar gaji sebanyak RM3,000 seorang.

Tambahnya, polis telah mengenal pasti dua akaun bank tempatan yang disyaki digunakan sebagai transaksi pemindahan wang.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×