SEPANG: Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang penuntut universiti swasta di Cyberjaya pada 23 Jun lalu.
Tertuduh, M. Sri Darvien dan V. D. Thineswary masing-masing berusia 19 tahun mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Sri Darvien yang tidak bekerja didakwa membunuh Maniishapriet Kaur Akhara, 20, di sebuah kondominium di Cyberjaya antara pukul 9.11 malam sehingga 11.31 malam pada 23 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi Thineswary yang juga rakan serumah mangsa, dia didakwa bersubahat dengan Sri Darvien untuk melakukan pembuhan terhadap Maniishapriet di mana kesalahan tersebut dilakukan akibat persubahatannya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium yang sama pada pukul 12.30 tengah hari, 23 Jun lalu.
Oleh itu, tertuduh yang juga pelajar di sebuah universiti swasta didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sama dengan Sri Darvien.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin sementara tertuduh masing-masing diwakili M. Manoharan dan Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan forensik, laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Media sebelum ini melaporkan, seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi berasal dari Sarawak ditemukan maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan, pada pukul 10 pagi 24 Jun lalu.
Mangsa dilaporkan tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu. – UTUSAN