Sembilan Ahli Parlimen PKR perlu digantung keahlian

Sembilan Ahli Parlimen PKR perlu digantung keahlian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seramai 19 Pimpinan Cabang PKR Negeri Johor mendesak supaya sembilan Ahli Parlimen PKR yang mengadakan sidang akhbar secara terbuka baru-baru ini digantung keahlian serta-merta.

Jurucakap kumpulan tersebut, Haniff@ Ghazali Hosman berkata, sidang akhbar mendesak ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan badan kehakiman itu telah memberikan tanggapan buruk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR.

Katanya, mereka melangkaui batas disiplin parti dan bercanggah dengan Kod Tataetika Anggota PKR  di bawah Perkara 10.1 dan 10.2. sebagai ahli parti.

“Antaranya, ahli parti perlu patuh kepada perlembagaan dan kod etika parti, menghormati keputusan parti, melindungi maklumat sulit dan kerahsiaan parti serta menjaga nama baik parti.

“Melakukan aktiviti sabotaj kepada keputusan parti dan pimpinannya, membuat kenyataan umum tidak benar atau berbentuk fitnah untuk menjatuhkan maruah anggota.

“Selain itu, melakukan tindakan yang menyalahi peraturan dan perlembagaan parti serta terlibat dalam sebarang kegiatan dan atau menghasut kebencian kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Hanif, Ahli Parlimen PKR yang terlibat ialah bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk  Seri Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Rodziah Ismail (Ampang) dan Wong Chen (Subang).

Turut sama Zahir Hassan (Wangsa Maju), Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), S. Kesavan (Sungai Siput) dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat).

Menurut Haniff, tindakan sembilan Ahli Parlimen PKR jelas melanggar beberapa peruntukan di atas dan telah memberi kesan negatif kepada nama baik dan perpaduan dalam parti.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh supaya segera menggantung keahlian sementara mereka  dan memulakan siasatan tatatertib menyeluruh melalui Jawatankuasa Disiplin Parti.

Katanya, tindakan tegas ini penting demi memelihara kewibawaan parti, memulihkan semula disiplin organisasi dan mengelakkan persepsi buruk yang boleh menjejaskan perpaduan PKR.

“Kami berharap seluruh anggota dan penyokong PKR agar kekal berpegang kepada prinsip perjuangan reformasi, menghormati saluran parti dan terus menyokong kepimpinan Presiden Parti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN