SEJAK kebelakangan ini, filem animasi, K-Pop Demon Hunters yang ditayangkan di Netflix berjaya mencipta fenomena luar biasa dalam kalangan penonton menerusi plot ceritanya yang menarik. Malah, filem animasi muzikal terbitan Sony Pictures Animation itu juga berjaya merangkul tempat pertama dalam carta platform Over-The Top (OTT) tersebut secara global sejak ditayangkan pada 20 Jun lalu. Bukan itu sahaja, runut bunyi f ilem animasi tersebut juga mula menjadi siulan ramai bahakan berjaya menembusi kategori Top 10 di Billboard 200 dan carta Lagu Popular Harian Global di Spotify. Berkisarkan tentang sekumpulan K-Pop wanita iaitu HUNTR/X perlu menentang kumpulan lelaki, Saja Boys yang merupakan kelompok ‘syaitan’ yang mengancam ketenteraman manusia dalam usaha mereka memulihkan keamanan dunia. Berikut adalah figura hebat yang menjadi penyumbang terhadap kejayaan f ilem animasi K-Pop Demon Hunters.
KEN JEONG
SIAPA sangka, pelakon komedi, Ken Jeong turut turun padang menyumbang suara sebagai Bobby iaitu pengurus kepada kumpulan HUNTR/X yang dianggotai oleh Rumi, Mira dan Zoey. Meskipun dirinya banyak membintangi filem antarabangsa, peranannya yang bersahaja menerusi K-Pop Demon Hunters secara tidak langsung menjadi penyeri jalan cerita animasi tersebut.
AHN HYO SEOP
PELAKON dan penyanyi Kanada Korea, Ahn Hyo Seop pertama kali menyumbangkan suaranya untuk watak Jinu menerusi K-Pop Demon Hunters. Jinu adalah watak demon yang juga merupakan salah seorang anggota kumpulan lelaki, Saja Boys yang mempunyai misi untuk menggugat usaha kumpulan HUNTR/X yang giat memelihara keamanan negara. Ahn Seop turut menyanyikan lagu yang berjudul Gwi Ma yang merungkai watak villain atau Raja Iblis menerusi filem itu.
ARDEN CHO
MENJADI penyumbang suara untuk watak Rumi, salah seorang anggota HUNTR/X, pelakon, Arden Cho mengakui karakter tersebut secara tidak langsung merealisasikan impiannya untuk menjadi watak utama dalam filem animasi. “Dengan penuh rasa terharu, saya tidak menyangka dari impian seorang anak kecil yang mahu membintangi f ilem animasi kini berjaya mendapat tempat pertama secara global. “Saya seakan tidak percaya dan bersyukur dengan sambutan yang diterima selepas menunjukkan sisi indah Korea,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram miliknya. Untuk info, Arden juga telah melebarkan sayap lakonannya di Amerika. Aktres ini pernah membintangi siri Teen Wolf, Chicago Med, Stuck, The Honor List dan banyak lagi.
TWICE
MESKIPUN tidak terlibat secara langsung, beberapa lagu hits yang dimainkan menerusi filem animasi tersebut dinyanyikan oleh kumpulan K-Pop terkenal, Twice. Antara lagu Twice yang berjaya mendapat tempat di hati pendengar menerusi filem ini adalah Strategy dan Takedown yang secara tidak langsung terus mengukuhkan kedudukan kumpulan itu dalam industri muzik Korea Selatan.
LEE BYUNG HUN
PELAKON terkenal, Lee Byung Hun telah menyumbang suaranya untuk watak Raja Iblis yang kejam dan manipulatif iaitu Gwi Ma. Menerusi filem itu, Gwi Ma menggunakan kuasanya untuk menyeksa syaitan lain secara emosi agar terus tunduk kepadanya. Pelakon prolifik itu juga pernah membintangi drama bersiri Squid Game, Joint Security Area, A Bittersweet Life, The Good, the Bad, the Weird, I Saw the Devil, Masquerade dan banyak lagi.