PETALING JAYA: Sektor perikanan Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan pada tahun 2024 dengan pertumbuhan pengeluaran sebanyak 7.1 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan pengeluaran mencecah 1.91 juta tan metrik berbanding 1.79 juta tan metrik pada tahun sebelumnya.
Sektor ini terus menjadi antara penyumbang utama kepada sumber protein negara serta menyumbang RM11.8 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu 0.7 peratus daripada keseluruhan KDNK negara, dengan kadar pertumbuhan tahunan meningkat kepada 2.9 peratus.
Peningkatan pengeluaran turut disumbang oleh subsektor perikanan tangkapan yang merekodkan pendaratan sebanyak 1.39 juta tan metrik, naik 9.6 peratus berbanding tahun 2023. Daripada jumlah ini, laut pantai penyumbang 1.18 juta tan metrik manakala laut dalam menyumbang 210 ribu tan metrik.
Operasi penuh vesel perikanan zon C dan C2, terutamanya di kawasan pantai barat Semenanjung, menjadi faktor utama peningkatan ini.
Subsektor akuakultur pula menunjukkan peningkatan sederhana apabila pengeluaran meningkat kepada 511 ribu tan metrik berbanding 506 ribu tan metrik pada tahun sebelumnya.
Walaupun berlaku sedikit penurunan dalam pengeluaran rumpai laut, akuakultur air tawar dan air payau masing-masing menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 5.7 peratus dan 2.0 peratus.
Pengeluaran daripada perikanan darat turut meningkat kepada 9,652 tan metrik berbanding 9,434 tan metrik pada tahun 2023.
Bagi subsektor ikan hiasan dan tumbuhan akuatik, pengeluaran menurun kepada 209 juta ekor ikan hiasan dan 21 juta ikat tumbuhan akuatik. Walau bagaimanapun, nilai keseluruhan sektor perikanan tetap meningkat daripada RM16.5 bilion pada 2023 kepada RM16.9 bilion pada 2024, mewakili pertumbuhan sebanyak 2.5 peratus.
Dari aspek perdagangan antarabangsa, nilai eksport hasil perikanan Malaysia berjumlah RM4.02 bilion, manakala import mencecah RM6.35 bilion, menunjukkan Malaysia kekal sebagai pemain aktif dalam pasaran perikanan serantau dan global.
Negara-negara utama destinasi eksport termasuk China, Vietnam dan Thailand, dengan produk utama terdiri daripada hasil segar, disejukkan dan sejuk beku mengikut keperluan pasaran masing-masing.
Sektor ini turut melibatkan penyertaan tenaga kerja yang besar, termasuk kira-kira 106,000 orang nelayan dan 16,873 pengusaha akuakultur aktif di seluruh negara. Jumlah vesel penangkapan ikan bagaimanapun menurun kepada 43,000 unit, dengan penurunan terbesar dicatatkan di negeri Sabah.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, sektor perikanan negara pada tahun 2024 terus menunjukkan daya tahan dan prestasi yang stabil dengan sumbangan signifikan kepada sekuriti makanan negara, pembangunan ekonomi pesisir pantai serta kesejahteraan rakyat.
Seiring dengan itu, Jabatan Perikanan Malaysia melaksanakan Dasar Agro Makanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) dengan penekanan khusus pada sekuriti makanan dan nutrisi secara menyeluruh, di samping memperkukuh kerjasama strategik bersama institut pengajian tinggi, sektor swasta dan kumpulan sasar bagi memastikan kelangsungan sumber perikanan negara secara lestari untuk generasi akan datang.
Jabatan Perikanan Malaysia komited dalam memacu pertumbuhan sektor ini melalui pendekatan bersepadu yang melibatkan pemodenan industri, pemerkasaan komuniti nelayan dan penternak, pemuliharaan sumber marin serta peningkatan daya saing rantaian nilai perikanan tempatan. – UTUSAN