PARIT BUNTAR: Sistem sekolah pondok tidak ketinggalan zaman malah mempunyai kekuatan sendiri yang mungkin sukar digantikan dengan kaedah pendidikan baharu.
Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh berkata, sebaliknya sekolah-sekolah pondok itu boleh digabungkan dengan sistem baharu yang diperlukan mengikut tuntutan semasa.
Jelasnya, sekolah pondok memberikan sumbangan penting buat rantau ini termasuk Malaysia pada suatu ketika dahulu dalam penyebaran ilmu.
“Ada sesetengah orang menganggap sistem pondok ini sudah ketinggalam zaman. Sebenarnya tidak, setiap sistem itu ada kekuatan tersendiri yang tidak boleh digantikan dengan sistem lain, walapun sistem itu baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Akademi Pengajian Pondok Umumi, Tahfiz Al-Quran dan Balai Islam Al Khairiyyah Al Hashimiyyah di sini hari ini.
Jelasnya, sistem pondok juga membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk mendalami ilmu yang mereka tidak dapat dipelajari sebelum ini.
“Kita memerlukan ilmu pengetahuan. Ilmu ini boleh dikatakan seperti udara dan air bagi manusia untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Akademi Pengajian Pondok Umumi dan Tahfiz Al-Quran itu diusahakan oleh bekas Rektor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan pensyarah, Prof. Dr. Jamil Hashim di atas tanah wakaf seluas empat hektar.
Pembinaan tersebut yang akan bermula pada tahun depan bakal menyediakan kapasiti 1,000 orang selain mampu menempatkan 2,000 golongan asnaf.
Jelas Jamil, golongan asnaf itu juga akan diperkasakan untuk membolehkah mereka mendapat pekerjaan. – UTUSAN