Sebahagian besar sekolah agama di Perak tiada Kebenaran Merancang - Utusan Malaysia

Sebahagian besar sekolah agama di Perak tiada Kebenaran Merancang

SAARANI Mohamad menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima pada Seminar Kelestarian Integriti Pembangunan Institusi Pendidikan Agama: Bicara Integriti dan majlis penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (Ceio) Sektor Awam di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengusaha dan pentadbir sekolah agama swasta, pondok atau pusat tahfiz di negeri ini diminta memastikan pusat pengajian mereka memenuhi spesifikasi pembinaan bangunan masing-masing bagi menjamin keselamatan para pelajar serta penghuni.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, di negeri ini terdapat sebanyak 1,006 institusi pendidikan agama telah berdaftar di bawah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Katanya, institusi itu merangkumi Tadika Islam Perak, Sekolah Rendah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Agama Rakyat, sekolah agama swasta, pondok, tahfiz dan Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan.

Namun katanya, beliau dimaklumkan hanya 85 institusi atau sekitar 8.4 peratus daripada jumlah keseluruhan itu yang mempunyai Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan.

“Saya berharap agar pihak yang bertanggungjawab, para pemegang taruh, khususnya pentadbir institusi dan agensi teknikal, dapat duduk semeja untuk menyelaraskan tindakan penyelesaian secara tuntas, bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Seminar Kelestarian Integriti Pembangunan Institusi Pendidikan Agama: Bicara Integriti dan majlis penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (Ceio) Sektor Awam di sini hari ini.

Kata Saarani, situasi itu membimbangkan kerana banyak tragedi yang berlaku seperti kebakaran kerana faktor pendawaian elektrik yang tidak memenuhi spesifikasi.

“Malah ada sesetengah pondok atau Maahad Tahfiz dibangunkan dalam kawasan kebun atau malahan di tepi hutan.

“Oleh kerana tak mengemukakan KM, maka pusat itu dibangunkan ikut sesuka hati. Tetapi apabila sesuatu musibah itu berlaku biasanya kebakaran, ia berpunca akibat pendawaian yang dibangunkan oleh orang yang tidak bertauliah,” katanya.

Saarani berkata, teguran bukan bermakna kerajaan negeri hendak mengehadkan atau membatasi pertumbuhan institusi agama sebaliknya mahu menekankan soal pematuhan peraturan dan keselamatan nyawa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN