KUALA LUMPUR: “Aku ambil kau sebab muka kau muka pecah rumah.”
Demikian kata-kata aktor senior, Datuk Rosyam Nor terhadap Azhan Rani, yang masih diingati pelakon terbabit sehingga ke hari ini.
Menurut Azhan, dia tidak pernah berkecil hati dengan kata-kata tersebut sebaliknya bersyukur kerana lembaran dunia lakonan kemudiannya terbuka luas buat dirinya walaupun untuk membawakan karektor antagonis.
“Saya masih ingat waktu itu saya baru mula berlakon. Datuk Rosyam Nor, masa itu belum bergelar Datuk dan dia panggil saya untuk drama Sesuci Cinta Sofiya.
“Dia nampak saya dalam pementasan teater Lantai T Pinkie dan mahu beri saya peluang.
“Masa saya masuk untuk uji bakat, dia terus cakap, ‘Aku panggil kau sebab orang kata kau bagus dan sebab muka kau ini muka pecah rumah’, “ kongsi Azhan dalam satu segmen audio siar di You Tube, baru-baru ini.
Kenyataan spontan Rosyam itu, menurut Azhan, menjadi permulaan kepada laluan panjangnya dalam menjayakan pelbagai watak jahat di kaca televisyen.
“Bermula dari drama itulah saya mula bawa watak jahat. Selepas itu, makin banyak tawaran untuk karakter seumpama itu.
“Tapi kalau nak kata saya sendiri rasa saya layak untuk watak jahat, tidaklah. Saya tak pernah letak macam itu pada diri saya.
“Sebab selalunya orang yang nampak dan orang yang letak. Saya ini jenis suka mencuba pelbagai watak. Kalau boleh, saya sendiri nak bawa watak baik,” katanya.
Bagaimanapun, Azhan mengakui tidak mudah untuk keluar daripada bayang-bayang karakter jahat yang sudah terlalu sebati dengan dirinya di kaca mata penonton.
Hanya selepas berpuluh tahun, jelasnya, barulah peluang membawa watak berbeza mula diberikan kepadanya.
“Baru-baru ini pun, dalam drama Seribu Tahun, pengarah, Shahrulezad cuba beri saya watak bukan antagonis. Boleh saja saya bawa.
“Tapi peluang itu datang selepas bertahun-tahun. Ada juga beberapa watak baik sebelum ini, tapi mungkin tidak mendapat perhatian atau ‘hype’,” jelasnya.
Selain itu, kata Azhan, salah satu karakter yang meninggalkan kesan besar yang pernah dibawakannya ialah watak Ustaz Madi dalam drama popular Nur, yang turut mendapat sambutan hangat di Indonesia.
“Sampai sekarang pun orang masih panggil saya dengan watak itu. Masa saya pergi umrah baru-baru ini pun, ada peminat dari Indonesia panggil saya ustaz. Mungkin mereka tengok juga drama itu,” katanya.
Sementara itu, berbicara mengenai kejayaan memainkan watak antagonis, Azhan menegaskan, ia tidak datang dari pelakon semata-mata.
Sebaliknya, jelas Azhan, ia memerlukan kekuatan daripada pelbagai aspek termasuk naskhah, pengarahan dan kerja berpasukan.
“Saya ini hanya menumpang sahaja. Kita ini sebagus mana pun berlakon, kalau tak dapat karya yang baik, pasukan yang bagus, pengarah yang faham, cerita yang kuat dan platform yang sesuai, tak akan ke mana juga.
“Kadang-kadang semua ini rezeki Allah. Kalau bermula dengan baik pun, jangan terlalu selesa. Dalam industri ini, pasti ada naik turunnya,” katanya.