PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mahu dikenang kerana jawatan atau kuasa, sebaliknya berharap rakyat akan terus menghargai segala sumbangan yang telah dicurahkannya demi kemajuan negara.
Menurut beliau, sepanjang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau sentiasa berusaha mengelak daripada menyalahgunakan kuasa dan memilih untuk berbakti sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.
Jelasnya, tanggungjawab utama seorang pemimpin bukan untuk memenuhi kepentingan peribadi, tetapi untuk menunaikan amanah rakyat serta harapan negara.
“Saya tidak mahu dikenang kerana kuasa. Saya cuma tidak mahu dikecam kerana melakukan perkara yang salah.
“Apa yang saya mahu hanyalah memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya dalam Podcast Dr. M yang disiarkan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-100, hari ini.
Dalam podcast yang sama, Dr. Mahathir turut mendedahkan bahawa beliau tidak pernah merancang untuk menjadi Perdana Menteri, malah menyifatkan pelantikannya sebagai satu kebetulan semata-mata.
“Dalam kes saya, saya tidak berusaha untuk menjadi Perdana Menteri. Saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan memegang jawatan itu.
“Namun, keadaan pada masa itu menjadikan saya berada di tempat yang betul pada masa yang tepat, dan akhirnya saya dilantik. Ia berlaku secara kebetulan.
“Saya bernasib baik. Secara tidak langsung, ini merupakan pencapaian terbesar dalam hidup saya kerana saya tiba-tiba memegang tampuk pemerintahan negara,” ujarnya.
Dr. Mahathir turut menyentuh isu kekejaman terhadap rakyat Palestin dan melabelkan tindakan Israel di Gaza sebagai satu bentuk genosid moden yang dilakukan secara terang-terangan.
“Israel membunuh lebih 60,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 100,000. Tetapi dunia hanya membisu.
“Tiada bantuan dihantar, tiada pasukan pengaman dibentuk. Semuanya disekat oleh kuasa veto Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata, kegagalan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan kekejaman tersebut merupakan tanda runtuhnya nilai-nilai asas kemanusiaan yang selama ini menjadi tonggak peradaban dunia.
“Kita sering bercakap tentang hak asasi manusia, kebebasan dan maruah. Tetapi di Gaza, semua nilai itu lenyap. Amerika bukan sahaja bersubahat, malah menjadi pelindung utama kepada jenayah ini,” katanya.
Beliau berkata, setiap negara berhak mempertahankan diri daripada pencerobohan dan tidak adil untuk menafikan hak rakyat Gaza untuk mempertahankan diri dan tanah air mereka sendiri.
“Rakyat Gaza juga berhak mempertahankan diri. Tetapi mereka disuruh menyerah, meletakkan senjata, dan menyerahkan tanah mereka kepada penjajah. Itu bukan keamanan, itu penaklukan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut merakamkan penghargaan atas segala ucapan dan hadiah ulang tahun yang diterimanya, serta bertekad untuk terus menyuarakan kebenaran selagi hayat dikandung badan.
“Saya menerima banyak hadiah, kek, bunga dan surat ucapan. Mencapai usia 100 tahun adalah sesuatu yang agak menakutkan. Saya bangun pada pukul 5 pagi hari ini, bukan kerana dipaksa, tetapi kerana sudah terbiasa begitu.
“Saya juga menerima nota ucapan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengucapkan selamat hari jadi ke-100 kepada saya. Terima kasih,” katanya. – UTUSAN