Saya pernah merempat, hanya makan mi segera kongsi ramai-ramai - Jay Iswazir - Utusan Malaysia

Saya pernah merempat, hanya makan mi segera kongsi ramai-ramai – Jay Iswazir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Demi bergelar seorang pelakon, Jay Iswazir, 43, pernah hidup merempat dan hanya berkongsi makan mi segera dengan kawan-kawan untuk bertahan hidup di Kuala Lumpur.

Mengimbas kembali memori itu, Jay atau Ahmad Iswazir Ismail masih menuntut di Universiti Malaya dan menggerakkan komuniti teater di Kuala Lumpur sekitar tahun 2008.

“Ada seorang senior dahulu taja kami tinggal di dalam studio, tempat itu jadi ‘hostel’ tapi kena gerakkan aktiviti teater di sana. Saya tinggal di tempat itu lebih kurang tujuh bulan, fasa itu kalau secara dramatiknya boleh dianggap saya merempat.

“Ketika itu saya pernah tiada duit langsung. Pernah rasa juga istilah yang orang panggil ‘maggie baldi’ kongsi makan ramai-ramai. Tapi kami semua hidup sangat gembira ketika itu sebab rasa persahabatan sejati.

“Bayangkan kalau ada kawan nak pergi ‘dating’ saya rela dia pakai baju saya walaupun baru sahaja saya beli baju itu. Kelakar.

“Cuma sesekali dapat juga merasa Nasi Koboi iaitu hidangan nasi putih, ayam dengan kuah kari. Kadangkala ada kawan-kawan bawa balik makanan daripada pasukan produksi tempat mereka bekerja. Boleh kata itu makanan paling mewah kami semua,” katanya.

Jay ditemui Utusan Malaysia di pementasan teater Tingginya Menyapu Awan, di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, pada Jumaat.

Namun begitu, Jay tidak menafikan, persahabatan mereka turut diuji apabila masing-masing mula mempunyai pendapat berbeza tentang menguruskan kewangan.

“Lama-kelamaan kami mula mendapat tajaan atau ada pihak yang mula memberikan dana. Di situlah kemanisan persahabatan sedikit luntur. Bukan saya mahu kata tidak suka wang, ia penting.

“Cuma dari situ kami mula tidak sehaluan mahu bahagikan wang sama rata atau sisakan sedikit untuk pengurusan kelangsungan teater,” katanya.

Menurutnya, pengalaman itu membuatnya lebih mudah menghayati karakter Badi, iaitu seorang gelandangan yang tinggal di penempatan setinggan menerusi teater Tingginya Menyapu Awan.

“Walaupun skrip teater ini ditulis pada tahun 70-an, namun ia masih relevan untuk dipentaskan sehingga kini. Ia menawarkan banyak sudut untuk diperhatikan. Sebab itulah pentingnya hidup berkomuniti.

“Saya bukanlah pandai sangat, tapi ada juga mendekatkan diri dengan orang cerdik pandai. Mungkin sahaja rasa kemanusiaan yang cuba dibawa dalam teater ini boleh dianggap fardu kifayah,” katanya.

Naskhah teater Tingginya Menyapu Awan skrip asal tulisan Malina Manja dipentaskan selama tiga hari bermula 25 Julai di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka.

Turut menjayakan teater itu ialah pelakon Hazzy Alzeeq, Nik Aqil, Nain Hamzan, Adli Shinichi dan Farhana Fahizam. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN