ALOR GAJAH: Seorang anggota tentera berpangkat sarjan direman lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas disyaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Januari lalu.
Perintah reman sehingga 29 Julai ini dikeluarkan Majistret Dr. Teoh Shu Yee terhadap suspek lelaki berusia 32 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017.
Kejadian terbongkar pada 9 Julai lalu selepas mangsa menceritakan perbuatan suspek kepada ibunya.
“Kejadian dipercayai berlaku di kawasan taman perumahan mereka pada petang Januari lalu. Mangsa mendakwa suspek yang dikenali ibu dan bapanya telah mempelawanya bersiar-siar di kawasan taman perumahan dengan menaiki kereta.
“Ketika itu mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari tadika. Suspek kemudian dikatakan mengajak mangsa untuk membeli aiskrim dan selepas itu bertindak mencabulnya,” kata sumber.
Sumber berkata, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik mendakwa suspek kerap mengulangi perbuatan keji itu.
“Bertindak hasil daripada maklumat, polis kemudian menahan suspek petang semalam bagi mendapatkan perintah reman hari ini,” katanya.
Pada Mei lalu, suspek dituduh di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh atas lima pertuduhan termasuk merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang juga merupakan kakak kepada mangsa. – UTUSAN










