PUTRAJAYA: Rundingan Tahunan Malaysia dan Indonesia yang dijadual berlangsung di Jakarta, Indonesia pada hujung Julai ini dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala termasuk mengenai Ambalat iaitu wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasinya akan ke Jakarta pada 29 Julai ini bagi menghadiri rundingan itu yang kali terakhir diadakan pada tahun 2017.
“Proses konsultasi tahunan ini kebiasaannya menjadi forum terbaik di antara pemimpin kedua-dua negara menyatakan pandangan dan mencari hala tuju dalam sesuatu isu, manakala isu Ambalat bukan satu perkara baharu dan saya jangka ini akan menjadi perkara yang dibincangkan (kelak).
“Tapi seperti yang Perdana Menteri ada sebut, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan termasuk isu teknikal. Jadi kita menjangkakan perbincangan pada hujung Julai nanti adalah sebagai permulaan, bukan pengakhiran dalam isu tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Menurut Fahmi yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan, Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia itu adalah susulan daripada pertemuan yang berlangsung antara Perdana Menteri dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Jakarta, minggu lalu.
Jelas beliau, pertemuan kedua-dua pemimpin itu juga berjalan lancar dalam suasana yang meriah, baik dan positif.
“Antara perkara yang dibincangkan adalah untuk memulakan semula perbincangan tahunan antara pimpinan kedua-dua negara. Perdana Menteri dan delegasi akan ke Jakarta pda 29 Julai (ini) untuk hadiri sesi konsultasi serta acara berkaitan sekretariat ASEAN,” katanya.
Media pada 27 Jun melaporkan, Perdana Menteri dan Presiden Indonesia menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim Malaysia dan Indonesia di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.
Pada sidang akhbar bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka, Anwar berkata, kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat.
Sementara itu, berhubung lawatan Perdana Menteri ke tiga negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil bermula semalam, Fahmi memaklumkan ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasakan hubungan antara Malaysia dan negara berkenaan.
“Selain mempromosi kerjasama ekonomi di peringkat global, kita boleh jangkakan beberapa perbincangan menyentuh aspek pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih erat bakal diumum kelak. – UTUSAN