Rugi RM1 juta, empat unit kedai hangus dijilat api - Utusan Malaysia

Rugi RM1 juta, empat unit kedai hangus dijilat api

ANGGOTA bomba berusaha menjalankan operasi pemadaman kebakaran empat unit kedai di Jalan Yaakubiah, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/ROHANA M
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebuah keluarga mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas empat unit kedai milik keluarga tersebut musnah dalam kebakaran di Jalan Yaakubiah di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 5.25 petang itu memusnahkan premis bateri kereta, bengkel dan pejabat milik keluarga Loh Peh Yin, 32.

Menurut Peh Yin, dia menyedari kejadian itu kira-kira pukul 5.45 petang selepas dihubungi orang awam yang melihat api keluar dari bumbung salah sebuah premis.

“Saya ketika itu berada di rumah di Kubang Kerian dan bergegas ke premis milik keluarga. Saya sempat melihat api sedang marak membakar hampir keseluruhan kedai yang mengandungi stok bateri kereta yang baru sampai, sebuah kereta Proton Saga BLM dan sebuah motosikal.

“Keempat-empat premis itu milik bapa saya yang sudah beroperasi sejak 45 tahun lalu. Perniagaan bapa kini diuruskan oleh kami adik-beradik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi.

Peh Yin memberitahu, dia tidak mengetahui punca kebakaran kerana kedai tidak beroperasi ketika kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kelantan, Ikram Ahmad Fauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.30 petang seramai 17 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, usaha memadam kebakaran agak sukar kerana melibatkan bateri kereta yang mengandungi asid berbahaya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN