KUALA LUMPUR: Sebanyak RM51 bilion diperuntukkan kepada sektor keselamatan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu merupakan sebahagian daripada RM430 bilion yang disediakan kerajaan untuk pembangunan negara sepanjang tempoh pelaksanaan RMK13.
Katanya, agihan strategik ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan negara turut meliputi aspek keselamatan bagi menjamin kestabilan jangka panjang.
“RMK13 harus menjadi milik semua di mana setiap individu, masyarakat, sektor swasta dan kerajaan berganding bahu di landasan pembangunan yang dihasratkan.
“Dengan berjayanya kebijakan ikhtiar ini, menjelang 2030, kita bukan sahaja memiliki pencapaian material yang hebat, malah rakyat yang berjiwa besar dan hidup bersatu padu,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat di sini, hari ini. – UTUSAN