KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) disasarkan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sasaran tersebut diterajui oleh permintaan domestik, terutama penggunaan dan pelaburan swasta.
Beliau berkata, eksport kasar negara dijangka meningkat sebanyak 5.8 peratus setahun dengan peluang perdagangan yang lebih luas.
“Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan kekal sebagai sumber utama pertumbuhan yang disumbang oleh peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai.
“Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka berkurang secara berperingkat di bawah tiga peratus kepada KDNK dan paras hutang Kerajaan tidak melebihi 60 peratus kepada KDNK.
Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita disasarkan meningkat kepada RM77,200 dan dijangka melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata, pasaran buruh negara dijangka bertambah baik dengan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK mencapai 40 peratus manakala kadar pengangguran mencapai tahap guna tenaga penuh menjelang 2030.
“Kadar inflasi juga dijangka kekal stabil dalam lingkungan dua hingga tiga peratus setahun,” katanya.-UTUSAN