SEREMBAN: Taman Tasik Seremban kembali menjadi tumpuan kaki pancing dari seluruh negara apabila Cabaran Ngail Nismilan 2025 dijadualkan berlangsung pada 3 Ogos ini (Ahad).
Pertandingan yang dinanti-nantikan ini kembali selepas dua tahun menyepi, dan bakal berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Acara berprestij ini dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan kerjasama NS Events, serta sokongan penuh daripada Tourism Malaysia bersempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2025 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2025. Sasaran penyertaan adalah seramai 700 peserta dari pelbagai negeri.
Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali, berkata acara ini bukan sekadar pertandingan memancing, malah berperanan sebagai platform memperkukuh hubungan kekeluargaan, mempromosikan gaya hidup sihat serta menyemarakkan semangat pelancongan komuniti.
Menariknya, pertandingan ini mengekalkan konsep unik “Hadiah Sapu Bersih”, dengan tawaran hadiah wang tunai melebihi RM10,000. Juara bakal membawa pulang RM4,000, tempat kedua RM1,000, manakala tempat ketiga menerima RM500. Hadiah turut disediakan sehingga ke ranking ke-100 sebagai dorongan kepada semua peserta.
Sebagai tarikan istimewa, dua keping emas keluaran MBS, masing-masing bernilai RM5,000, turut disediakan sebagai hadiah cabutan bertuah utama dengan nilai keseluruhan mencecah RM10,000. Hadiah ini dijangka menjadi rebutan ramai dan menyemarakkan lagi suasana pertandingan.
Yuran penyertaan hanya RM40 bagi satu joran dua mata, menjadikan acara ini mudah disertai oleh semua lapisan masyarakat — sama ada pemancing profesional mahupun peserta baharu yang ingin mencuba nasib dalam suasana santai dan meriah.
Semua spesies ikan yang berjaya ditangkap adalah sah dipertandingkan, termasuklah patin, rohu, tongsan, lampam, tilapia, keli, puyu dan baung. Ini memberi peluang lebih adil kepada semua peserta tanpa mengira jenis tangkapan — sekali gus menjadikan saingan lebih terbuka dan menarik.
Taman Tasik Seremban yang terletak di tengah bandar terkenal dengan keindahan landskapnya serta kemudahan mesra pengunjung. Lokasi ini bukan sahaja ideal untuk aktiviti memancing, malah menjadi tarikan pelancongan popular dalam kalangan pengunjung tempatan dan luar.
Program ini turut merancakkan ekonomi setempat melalui penglibatan gerai makanan, jualan barangan memancing, usahawan kecil serta aktiviti interaktif bersama keluarga dan pengunjung. Ia sekaligus menyokong pertumbuhan ekonomi mikro komuniti setempat.
Cabaran Ngail Nismilan 2025 diangkat sebagai acara pelancongan berimpak tinggi yang mampu memperkukuh imej Seremban sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan utama di Negeri Sembilan sempena Tahun Melawat Malaysia 2025.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila hubungi urus setia di talian 013-2661077, 013-3052811 atau 012-2846811. Info juga boleh diikuti di Facebook: facebook.com/jorankl