KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan sebanyak RM264.91 juta bagi program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bertujuan membantu pekebun kecil berdepan cuaca tidak menentu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan itu dijangka membantu lebih 330,000 penerima di seluruh negara.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pemberian itu meliputi semua pekebun kecil termasuk yang berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
“Cuaca pula sukar dijangka, menjejaskan hasil dan pendapatan pekebun kecil saban musim. Justeru, segala dasar mesti berpaksikan realiti.
“Saya percaya bahawa BMT ini bukan sekadar pelaburan untuk menyokong satu cabang ekonomi negara.
“Lebih dari itu, ia adalah bentuk penghormatan kepada keringat para pekebun kecil yang saban hari memastikan industri ini kekal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya ketika berucap sempena Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024, hari ini.
Dengan menyasarkan seramai 331,142 orang pekebun kecil dan penoreh getah, permohonan bantuan tersebut kini dibuka sehingga 30 September ini.
Penerima layak akan mendapat bantuan tunai berjumlah RM800 yang akan dikreditkan secara berperingkat bermula November 2025 ini.
Semakan kelayakan serta permohonan boleh dibuat menerusi portal Pekebun Kecil RISDA di pautan https://pekebunkecil.risda.gov.my, atau dengan hadir ke pejabat RISDA, Felda atau LIGS berhampiran. – UTUSAN










