PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mengesahkan seorang remaja lelaki warga Britain yang dilaporkan hilang di negara asalnya, masuk ke Malaysia pada 7 Jun lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, semakan mendapati remaja tersebut, David Balisong, 17, masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.29 pagi, hari terbabit.
Menurutnya, maklumat itu diperoleh hasil pemeriksaan rekod kemasukan di semua pintu masuk antarabangsa.
“Berdasarkan rekod Imigresen, remaja berkenaan sememangnya masuk ke Malaysia pada tarikh dan masa dinyatakan.
“Pihak Imigresen akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa lain sekiranya diperlukan untuk membantu siasatan kes ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA sudah membuka kertas siasatan Kertas Enkuiri Polis (KEP) berkaitan Orang Hilang (OH) bagi menyiasat kes itu.
Menurutnya, pihak polis juga sedang berhubung dengan pihak Kedutaan Britain untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan remaja terbabit.
“Kami akan bekerjasama rapat dengan pihak kedutaan dan semua agensi berkaitan dalam usaha mengesan remaja ini,” katanya.
Sebelum ini, keluarga Balisong yang berasal dari Cheadle, Greater Manchester, United Kingdom, dilaporkan terkejut selepas mendapati remaja itu meninggalkan rumah secara senyap-senyap pada 6 Jun lalu.
Remaja itu dikatakan keluar rumah dengan memberikan alasan mahu menduduki peperiksaan GCE Peringkat A di kampus.
Berdasarkan laporan Daily Mail, Balisong menaiki penerbangan sehala dari Manchester ke Kuala Lumpur tanpa memaklumkan sesiapa.
Difahamkan, Balisong adalah pelajar sains komputer di Universiti Manchester dan dilaporkan mematikan telefon bimbit serta tidak membalas emel sejak tiba di Malaysia.
Sehari selepas kehilangannya dilaporkan, Polis United Kingdom mengesahkan Balisong berlepas seorang diri dari Lapangan Terbang Manchester dan diberikan visa selama 90 hari sebaik tiba di Malaysia.
Ibunya, Minerva, 50, seorang jururawat penjagaan kesihatan memaklumkan keluarga mereka amat bimbang dengan keadaan anaknya itu.
Keluarganya kini melancarkan rayuan GoFundMe bagi mengumpul dana untuk membiayai perjalanan dan penginapan mereka di Kuala Lumpur untuk membantu pencarian.- UTUSAN