TANAH MERAH: Seorang remaja lelaki kategori orang kurang upaya (OKU) intelektual dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh warga emas di Kampung Buluh, Gual Ipoh di sini pada 19 Jun lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Tuan Mohamad Izmal Firdaus Tuan Muda, 18, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini.
Pengakuan tidak direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, remaja itu yang merupakan OKU intelektual didakwa membunuh seorang lelaki warga emas Shamsudin Mohamed, 60, di di tepi jalan sebelah kedai runcit, Kampung Buluh, Gual Ipoh antara 6 hingga 6.30 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan menetapkan 2 September sebagai sebutan semula kes.
20 Jun lalu Utusan Malaysia melaporkan, berang dan berdendam akibat ditegur menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan kampung, seorang remaja sanggup memukul seorang warga emas dengan sebatang cota besi hingga maut dalam kejadian di Kampung Buloh Ipoh di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Shamsuddin Mohamad, 60, mengalami kecederaan parah pada muka meninggal dunia di lokasi kejadian selepas rebah dipukul remaja terbabit.-UTUSAN