KUANTAN: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas ketika memancing bersama tiga rakannya di sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Talam, Bandar Indera Mahkota di sini malam ini.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.21 malam sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Laporan awal daripada Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Daud Kamal Hashim Othman memberitahu setibanya pasukan di lokasi kira-kira pukul 8.36 malam, pihaknya dimaklumkan oleh polis bahawa terdapat seorang remaja dipercayai hilang selepas terjatuh ke dalam sungai.
“Mangsa, Muhammad Isyraf Danish Razmi berusia 15 tahun, dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan ketika sedang memancing bersama tiga rakannya.
“Pasukan bomba menjalankan pencarian mangsa menggunakan teknik pencarian permukaan (surface searching) di kawasan sekitar lokasi kejadian,” katanya di sini malam ini..
Setakat pukul 10 malam, mangsa masih belum ditemukan dan operasi pencarian akan diteruskan mengikut prosedur ditetapkan. – UTUSAN