PETALING JAYA: Rapid Bus menjalankan siasatan berhubung insiden membabitkan bas perantara Aliran Transit Massa (MRT) dan sekumpulan penunggang basikal yang tular di media sosial baru-baru ini.
Rapid Bus menerusi kenyataan memaklumkan, kejadian itu berlaku apabila pemandu bas terpaksa memberhentikan kenderaan selepas laluan dihalang sekumpulan penunggang basikal yang mengayuh secara berkumpulan di hadapan bas terbabit.
“Terdapat penunggang yang memasuki lorong kiri dan menghalang laluan bas menyebabkan kapten bas (pemandu) memberhentikan kenderaan dan menegur kumpulan terbabit.
“Namun, berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui jalan terbabit menenangkan keadaan,” katanya.
Rapid Bus berkata, pemandu terbabit telah diberikan sesi kaunseling bagi membantunya mengendalikan situasi seperti itu dengan lebih tenang pada masa akan datang.
“Semua kapten bas juga diingatkan untuk terus mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, Rapid Bus turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi undang-undang lalu lintas demi keselamatan bersama.
Sebelum ini, media melaporkan aksi pergelutan melibatkan sekumpulan penunggang basikal dan pemandu bas di Jalan Bestari Jaya, Kuala Selangor yang didakwa berpunca daripada insiden penunggang basikal yang menunggang melebihi garisan jalan tular di media sosial.
Video yang dimuat naik di TikTok memaparkan situasi tegang apabila kedua-dua pihak bergaduh mulut di bahu jalan dengan dakwaan pemandu bas bertindak agresif terhadap kumpulan penunggang tersebut.-UTUSAN











