Ramai pelakon berbakat tiada peluang Saya tidak nafikan hal itu – Ogy Ahmad Daud - Utusan Malaysia

Ramai pelakon berbakat tiada peluang Saya tidak nafikan hal itu – Ogy Ahmad Daud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini, muncul luahan daripada seorang pendatang baharu yang melihat kononnya masih ramai pelakon tempatan yang memiliki bakat besar namun terus terpinggir kerana industri seni lebih mengutamakan populariti dan hubungan peribadi berbanding kemampuan sebenar.

Luahan itu telah menarik perhatian banyak pihak termasuk penggiat seni berpengalaman.
Menyahut pandangan tersebut, pelakon yang juga figura disegani dalam dunia seni tanah air, Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy tampil memberikan respons.

Berbekalkan pengalaman lebih lima dekad dalam pelbagai cabang seni, Ogy menyifatkan dakwaan tersebut ada kebenarannya dan tidak wajar disapu atau dilenyapkan ke bawah permaidani.

Sebagai seniwati yang masih bergiat aktif dalam dunia seni tanah air, adakah benar dakwaan bahawa masih ramai pelakon berbakat yang belum diberi peluang dalam industri hiburan kita?

Saya tidak akan menafikan hal itu. Memang benar. Ini adalah sesuatu yang masih berlaku dalam industri kita. Ramai yang tidak melihat seni itu akan mendatangkan hasil lumayan. Tengok Allahyarham Khalid Salleh. Beliau pernah menang pelakon lelaki terbaik di Festival Filem Asia Pasifik, selepas Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, namun tetap dipinggirkan hingga akhir hayat. Itu sangat menyedihkan.

Jadi, adakah ini bermaksud bakat semata-mata tidak mencukupi?
Seni ini berbeza. Ia bukan sekadar bisnes biasa, ia bisnes yang melibatkan jiwa dan rasa. Bakat adalah anugerah Tuhan, bukan kerana berapa ramai jumlah pengikut, bukan sebab populariti. Sama ada jadi pelakon, penyanyi, pengacara atau pembaca berita sekali pun bakat tetap nombor satu. Jumlah pengikut tidak boleh cipta bakat. Sebab itu, setiap individu kena tahu di mana kekuatan diri mereka. Kena cari selling point uniknya sendiri. Kalau awak bermutu, awak berkualiti, lambat laun awak tetap akan dikenali.

Bagaimana pula dengan pengaruh pengurus atau pengendali bakat terhadap hala tuju kerjaya seseorang artis?
Sangat penting siapa yang menguruskan anda. Kalau pengurus pun hendak lebih glamor daripada artis itu sendiri, itu masalah. Malangnya, ini kerap terjadi. Sebab itu saya kata, muhasabah. Lihat semula strategi, gunakan platform teknologi sedia ada, buat sahaja beberapa shot 30 saat atau apa-apa ruang digital untuk tonjolkan bakat sebenar. Jangan harapkan gambar semata-mata di IG. Macam mana orang hendak tahu awak berbakat dalam lakonan atau apa sahaja bidang yang diceburi.

Isu kronisme dalam produksi, adakah ia masih berleluasa? Ada yang kata sesetengah produksi suka pilih geng sendiri untuk berlakon, betulkah?
Kronisme? Itu memang sudah lama wujud. Tapi ia bergantung pada kejujuran penerbit. Adakah pemilihan dibuat kerana pelakon itu layak atau sekadar untuk jimat bajet sebab kawan? Saya sendiri tidak mengamalkan kronisme. Saya tengok pada mutu, bakat. Saya memang jenis begitu. Alhamdulillah, zaman saya dulu tidak ada kejadian begitu.

Ada juga yang mengatakan sesetengah produksi memilih pelakon daripada geng sendiri kerana mereka boleh dibayar murah atau berlebih kurang daripada aspek bayaran. Apa pandangan Ogy?

Itu memang berlaku. Tapi dulu, kami tak dilayan sebegitu. Sekarang mungkin lain. Stesen TV pun main peranan besar, berapa mereka bayar penerbit? Kalau penerbit hanya dapat margin kecil, mereka terpaksa cari pelakon murah. Tapi yang saya pelik, kalau pelakon itu tidak mahu terima, dia cakaplah dia tak hendak terima sebab rezeki kita ini bukan di tangan penerbit. Kalau kau bagus, kau tetap bagus. Mungkin pelakon itu takut mahu tolak tawaran meski bayaran rendah sebab takut dapur tidak berasap. Jangan risau dengan rezeki, kalau kau bagus, kau tetap bagus.

Jadi, bagaimana artis baharu harus memposisikan diri dalam industri yang kompetitif ini?
Jangan mudah putus asa. Jangan rendah diri sampai rendahkan nilai diri. Lihat saja Al Pacino, bertahun-tahun ambil masa untuk dikenali, tapi dia terus belajar, tajamkan kemahiran lakonan dan bertahan hingga kini. Sebab itu saya cakap, artis itu perlu cari di mana unique selling point dia. Kalau cepat mengalah, Tuhan pun marah. Saya sendiri sudah lalui macam-macam sepanjang lima dekad. Kalau saya boleh, kenapa tidak generasi baru? Kalau hendak cakap pasal persaingan pula, Malaysia tidak sebanyak di Hollywood. Paling tidak di Indonesialah. Kita kena cari nilai unik dalam diri kita untuk diketengahkan.

Apa harapan Ogy terhadap masa depan industri seni tanah air?
Saya mengharapkan lebih banyak pihak dalam industri kembali kepada asas: bakat dan mutu. Kita dalam industri kreatif, tapi ramai dalamnya sudah tidak kreatif. Saya sendiri kini memberi tumpuan kepada perkongsian ilmu melalui bengkel ‘Adventures in Acting’ agar warisan seni kita terus hidup dan berkembang, bukan sekadar hidup atas populariti kosong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN