Raja Permasuri Agong rasmi Borneo Flora Festival, 250,000 pokok bunga dipamer

Raja Permasuri Agong rasmi Borneo Flora Festival, 250,000 pokok bunga dipamer

RAJA Zarith Sofiah berkenan melawat pameran selepas merasmikan Borneo Flora Festival@ Labuan 2025 (BFF 2025) di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABUAN: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan merasmikan Borneo Flora Festival@ Labuan 2025 (BFF 2025), festival bunga terbesar di Kepulauan Borneo yang diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Festival bunga berprestij yang julung kali diadakan di Kepulauan Borneo ini mempamerkan 250,000 unit pokok bunga semusim yang dipamerkan kepada pengunjung sepanjang lima hari penganjuran bermula 26 hingga 30 Julai ini.

Pelaksanaan BFF 2025 ini bukan sekadar penganjuran acara yang bertaraf antarabangsa dan berskala besar tetapi dapat memperkenalkan dan melonjakkan lagi potensi Wilayah Persekutuan Labuan terutamanya dalam membuka lebih banyak peluang pelaburan baharu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, BFF bukan hanya untuk sektor pelancongan semata-mata, malah turut menjana peluang sosioekonomi tempatan, khususnya kepada industri perhotelan, makanan dan peniaga-peniaga kecil.

Katanya, limpahan ekonomi daripada festival ini juga dijangka mampu merancakkan pasaran domestik, khususnya di kepulauan Borneo, dan membuka ruang pelaburan baharu dalam sektor pelancongan, landskap dan hortikultur.

“Sebanyak 50,000 pengunjung dengan jangkaan kesan ekonomi perbelanjaan langsung sebanyak RM20 juta. Apa lebih penting, para pelancong yang hadir ke Labuan ini, kelak akan kembali melancong semula ke Labuan.

“Seramai 31 pempamer landskap yang bukan sahaja terdiri daripada penyertaan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, malah turut melibatkan penyertaan negeri-negeri jiran iaitu Sabah dan Sarawak, serta rakan-rakan serantau dari Brunei dan Kalimantan, Indonesia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian BFF 2025, di sini hari ini.

Zaliha berkata, BFF membawa satu mesej yang lebih besar daripada sekadar acara bunga dan landskap, malah mencerminkan kesediaan semua pihak untuk memperkukuh jaringan kerjasama ekonomi, budaya dan komuniti merentas sempadan geografi.

Ia seterusnya membentuk satu ekosistem serantau yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Melalui penganjuran program berskala besar seperti ini diterajui oleh Jabatan Wilayah Persekutuan dengan gabungan kepakaran tiga agensi di bawahnya iaitu Perbadanan Labuan, Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, ia bukan sahaja dapat mempromosikan pelancongan berasaskan alam semulajadi tetapi meningkatkan kesedaran awam tentang pemeliharaan biodiversiti serta warisan semulajadi Borneo.

Perkembangan ekonomi pelbagai sektor tempatan termasuk hospitaliti, pengangkutan, gastronomi, inap desa dan lain-lain turut menerima manfaat yang besar sepanjang penganjuran BFF 2025 yang sekali gus dapat membangunkan sektor pelancongan Wilayah Persekutuan Labuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN