Rafizi beri lebih fokus Projek Ayuh Malaysia

Rafizi beri lebih fokus Projek Ayuh Malaysia

MOHD. RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mahu memberikan lebih fokus kepada projek Ayuh Malaysia yang dilancarkannya bagi menjamin kebajikan ekonomi dan sosial rakyat Malaysia pada masa depan.

Memulakan inisiatif itu, bekas Menteri Ekonomi itu melancarkan tujuh jenis perusahaan sosial yang dijangka beroperasi bermula September depan termasuk FlexiMart.

Beliau berkata, FlexiMart merupakan kedai serbaneka dengan harga berpatutan berkonsepkan ‘isi semula’ atau beli mengikut keperluan sahaja dan menekankan konsep kenyang, sedap serta murah (Kesum) bagi membolehkan orang ramai membeli sarapan, makan tengah hari dan makan malam pada harga serendah RM5.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada misi membangunkan sektor ketiga dalam ekonomi negara, iaitu perusahaan yang berasaskan rakyat (social enterprice) tetapi dibiayai secara lestari melalui operasi perniagaan yang cekap dan berdaya saing,” katanya pada Majlis Pelancaran Ayuh Malaysia, di sini semalam.

Selain itu, katanya, terdapat juga bantuan bumbung solar kepada keluarga berpendapatan rendah di bawah inisiatif Suria satu program kenegaraan dan penerapan kesedaran sivik (SagaSivik) dan beberapa program lain termasuk CLIB iaitu latihan memasuki alam pekerjaan untuk belia dan lepasan pendidikan tinggi.

Katanya lagi, antara program lain di bawah inisiatif Ayuh Malaysia adalah latihan baik pulih gajet terpakai yang kemudian disewa serendah RM10 setahun menerusi PinjamGajet serta pertanian moden keledek atas tanah terbiar menerusi TanamDuit.

“Kesemua perusahaan sosial tersebut telah pun mempunyai rakan kongsi ekuiti, aset dan operasi. Kini, semuanya dalam proses akhir untuk mula beroperasi pada September tahun ini.

“Perusahaan sosial bergantung kepada sokongan orang ramai. Cara untuk membantu mengembangkannya adalah dengan menyokong serta membeli produk dan perkhidmatan untuk kegunaan sendiri.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menyumbang melalui pembiayaan orang ramai (crowdfunding) bagi membiayai pembelian produk dan perkhidmatan untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan, serta mengurangkan kos operasi Ayuh Malaysia yang menguruskan perusahaan sosial ini,” katanya.

Sebagai permulaan, FlexiMart bakal dibuka di Shah Alam dengan menyasarkan golongan mahasiswa dan belia; Kesum di Pandan Indah; Suria di Petaling Jaya; SagaSivik di Setiawangsa; CLIB di Ampang; PinjamGajet di Selayang; serta TanamDuit di Rembau.

Ayuh Malaysia akan berperanan sebagai hab sehenti bagi menyokong pertumbuhan perusahaan sosial, iaitu entiti perniagaan yang tidak hanya berorientasikan keuntungan tetapi memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

“Antara lain, usaha ini adalah untuk mempersiapkan ekonomi rakyat menghadapi negara tua seawal 2044 yang mana ia akan memberi cabaran besar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana khususnya mereka yang tiada simpanan persaraan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN