Putri Qisya kembali ke sekolah, Fadhlina beri kata-kata semangat

Putri Qisya kembali ke sekolah, Fadhlina beri kata-kata semangat

FADHLINA Sidek memberikan kata-kata semangat kepada Putri Qisya Nur Izzati ketika bertemu di SK Seberang Perak Baru, Alor Setar, Kedah hari ini.. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat lemas di Sungai Korok bersama empat adiknya kembali menyambung persekolahannya  di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak Baru, di sini selepas seminggu bercuti.

Lebih bermakna apabila Putri Qisya Nur Izzati, 12, turut berpeluang bertemu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang melawatnya di sekolah itu termasuk memberikan kata-kata semangat dan sumbangan.

Kanak-kanak itu kehilangan ibu bapa, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, selepas Proton Iswara dinaiki pasangan suami isteri itu terbabas ke dalam sungai berkenaan pada Sabtu lalu.

Mayat kedua-duanya hanya ditemukan bersama empat lagi anak iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan di tempat duduk belakang kenderaan pada Isnin lalu, namun Putri Qisya terselamat kerana tidak mengikuti mereka.

Sementara itu, Fadhlina sekali lagi menzahirkan komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan kelangsungan pendidikan dan kebajikan Putri Qisya yang berhasrat ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan seterusnya menggapai cita-citanya menjadi juruterbang.

Beliau berkata, Putri Qisya  menunjukkan semangat luar biasa walaupun berdepan ujian besar dalam hidupnya.

Oleh itu, katanya, KPM akan memastikan segala bentuk sokongan termasuk psikososial dan akademik diberikan kepada kanak-kanak itu.

“Kementerian mengambil tanggungjawab penuh selagi dia masih di bawah tanggungjawab kami. Dia konsisten dan sangat bersemangat untuk masuk ke MRSM dan menjadi seorang juruterbang TUDM,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Fadhlina turut menyampaikan pampasan takaful kepada Putri Qisya bagi mewakili tiga adiknya, Putra Rayyan Nur Izat yang turut belajar di sekolah sama, serta Hawa Adrian dan Anayla Huma’ira yang merupakan pelajar SK Sungai Korok Lama.

Tambahnya, beliau turut meminta pihak sekolah khususnya guru besar dan guru kelas agar memberi perhatian kepada aspek psikososial murid yang kini tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya di Jitra, Kubang Pasu.

“Saya juga minta guru kelas untuk memantau keadaan psikologi emosi anak ini sepanjang dia meneruskan pengajian di sekolah ini. Putri Qisya menerima bimbingan kaunselor sekolah dan juga khidmat kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara berkala, sementara proses pemulihan emosinya masih berlangsung.

“Semangatnya nampak cukup kuat. Tetapi kita tetap bimbang sebab dia adalah kanak-kanak yang kehilangan seluruh ahli keluarga. Jadi saya masih ada kerisauan dan saya harap kerisauan saya itu dapat disokong dengan sokongan emosi oleh guru kaunseling,” katanya.

Tambah Fadhlina, Putri Qisya juga belum bermula sesi persekolahan sepenuhnya kerana masih dalam proses pemulihan kerana tragedi tersebut dan diberi masa untuk kembali ke sekolah pada bila-bila masa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN