KUALA LUMPUR: Polis menggempur pusat karaoke dan bar di Medan Imbi dekat sini yang menawarkan layanan gadis pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan Op Noda Khas awal pagi tadi.
Serbuan Op Hiburan Khas dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, semasa serbuan terdapat seorang wanita tempatan berusia 49 tahun dipercayai penjaga premis.
“Pemeriksaan premis mendapati terdapat 73 wanita disyaki GRO.
“Kesemua wanita berusia lingkungan 24 hingga 40 tahun terdiri daripada tiga tempatan, Thailand (52 orang), Vietnam (5 orang), China (2 orang), Laos (6 orang) dan Indonesia (5 orang) ini telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap pekerja warga asing mendapati 68 orang memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala dua orang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Jelasnya, dokumen perjalanan yang diperiksa mendapati kesemua menyalahgunakan visa pelancong untuk bekerja di premis terbabit.
“Seramai 145 orang pekerja dan juga pelanggan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk ujian saringan awal air kencing,” ujarnya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pusat hiburan terbabit dipercayai menyajikan GRO untuk menarik pelanggan selain mengenakan bayaran tip sekitar RM100 hingga RM500.
“Siasatan antaranya merangkumi menggajikan pekerja asing tanpa permit sah, salah guna permit atau visa serta tiada dokumen perjalanan sah.- UTUSAN