LUMUT: Punca kematian bekas penjaga gol Pulau Pinang, Firos Mohamed, 53, yang meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini semalam, akibat serangan jantung.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, Allahyarham Firos meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar KPJ Seri Manjung pada pukul 10.23 malam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya di sini hari ini.
Allahyarham Firos akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ridwaniah Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang selepas solat Zohor.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Menurut Zambry, pemergian Firos disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada komuniti bola sepak negara.
“Allahyarham dikenali sebagai seorang yang bersemangat tinggi, komited dan sentiasa memberi yang terbaik dalam arena bola sepak tanah air,” katanya.
Tambah Zambry, beliau telah mengarahkan segala bentuk bantuan yang diperlukan disalurkan kepada keluarga Allahyarham termasuk urusan penghantaran jenazah dan pengebumian.
“Saya bergegas ke hospital sebaik menerima perkhabaran duka ini dan berkesempatan menemui keluarga Allahyarham bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sokongan moral,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu video memaparkan pemain itu tiba-tiba rebah ketika beraksi mewakili pasukannya menentang legenda dari Kedah.
Kejohanan tersebut menghimpunkan barisan legenda bola sepak dari empat negeri utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Firos Mohammed dikenali sebagai antara penjaga gol terbaik negara dan Pulau Pinang pada era 90-an. – UTUSAN