GEORGE TOWN : Seramai 20 orang kanak-kanak termasuk seorang bayi perempuan berusia 15 hari diselamatkan dalam satu operasi khas di sebuah gudang dan rumah yang dijadikan pusat pembelajaran tidak berdaftar di sekitar Bukit Mertajam, minggu lepas.
Operasi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dengan kerjasama polis itu dibuat susulan aduan orang awam dan pemantauan pihak JKM sendiri terhadap sekumpulan kanak-kanak yang dilihat kerap keluar masuk di sebuah premis menyerupai gudang di situ.
Turut diselamatkan dalam operasi itu ialah seorang wanita berusia 20 tahun yang dipercayai ibu kandung kepada bayi perempuan berkenaan dan kesemua mereka dipercayai terdiri daripada pelbagai warganegara serta bertutur dalam bahasa Mandarin, namun, kurang fasih berbahasa Melayu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, operasi yang dijalankan pada 21 Julai itu mendapati, kanak-kanak terbabit dipercayai tidak menerima keperluan asas mencukupi seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang selamat.
“Kesemua mereka yang diselamatkan berumur antara 15 hari hingga 16 tahun, terdiri daripada 10 lelaki dan 10 perempuan.
“Berdasarkan siasatan awal, 12 orang kanak-kanak termasuk bayi tiada sijil kelahiran, enam mempunyai dokumen sah, namun, tiada ibu bapa atau penjaga dan dua telah diserahkan kepada penjaga keluarga terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Siew Khim berkata, keadaan di gudang tersebut juga sangat tidak bersih dan langsung tidak sesuai untuk didiami apatah lagi oleh kanak-kanak.
Tambahnya, ketika serbuan dilakukan, lima orang dewasa yang dipercayai warga tempatan berusia lebih 18 tahun serta disyaki bertindak sebagai penjaga turut berada di lokasi dan telah disoal siasat oleh polis.
“Kami ada menerima beberapa aduan awam mengenai isu ini sejak hujung tahun lalu, namun, ketika lawatan dan pemeriksaan awal dilakukan, tiada kanak-kanak ditemui di alamat yang diberikan.
“Bagaimanapun, aduan itu akhirnya dapat disahkan dan kesemua mangsa yang diselamatkan kini ditempatkan di ‘tempat selamat’ serta menerima Perintah Jagaan Sementara daripada Mahkamah Bukit Mertajam,” katanya yang memberitahu, pemeriksaan kesihatan turut dijalankan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dengan penglibatan pegawai psikologi JKM.
Dalam pada itu, katanya, JKM turut menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyelaras isu dokumentasi selain menyiasat latar belakang setiap kanak-kanak secara berperingkat dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
“Siasatan juga dibuat bagi mengenal pasti sekiranya terdapat unsur pengabaian yang boleh membawa kepada penderaan,” katanya yang turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes terbabit buat masa ini.-UTUSAN