PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mahu diberikan sebarang imuniti dalam isu berkaitan kedaulatan Pulau Batu Putih.
Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mahu dirinya dihadapkan ke mahkamah untuk menentukan sama ada beliau bersalah atau tidak dalam isu tersebut.
“Dia (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata umur saya 100 tahun kerana itu saya tidak didakwa walaupun bersalah. Ini bermakna saya dapat imuniti.
“Saya tidak mahu imuniti. Jika tuduh saya bersalah, hadapkan saya di mahkamah dan buktikan saya bersalah. Saya tahu saya tak bersalah dan saya mahu buktikan,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Kenyataan itu hadir susulan laporan media tempatan yang melaporan bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr. Mahathir berhubung isu Pulau Batu Puteh atas faktor usia beliau yang sudah lanjut.
Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, Kabinet tetap berpendirian bahawa Dr. Mahathir bersalah kerana keputusannya ketika mentadbir negara pada 2018 yang melepaskan Pulau Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura.
“Kita ambil keputusan ini kerana melibatkan mantan Perdana Menteri yang umurnya hampir 100 tahun. Apakah dia tak salah (dalam isu Pulau Batu Puteh)? Dia salah.
“(Tapi) apakah kita perlu ambil tindakan? Saya dalam mesyuarat Kabinet, saya setuju tak ambil tindakan,” katanya pada sesi Jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Dalam hantaran sama, Dr. Mahathir berkata, individu yang menjatuhkan hukuman bersalah dan memutuskan untuk tidak mengambil tindakan adalah seorang Perdana Menteri.
Beliau juga membayangkan bahawa kenyataan bersalah yang dibuat Perdana Menteri itu tidak berperlembagaan.
“Ini bermakna Datuk Seri Anwar (Ibrahim) bukan sahaja PM (Perdana Menteri), dia juga hakim dan juga pendakwa raya. Begitulah hebat kuasanya. Tetapi Perlembagaan tidak sebut Perdana Menteri boleh jadi pendakwa raya atau hakim,” katanya. – UTUSAN










