PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantah keras tindakan beberapa universiti awam yang membuka laluan penswastaan melalui program khas yang mengenakan yuran tinggi kepada pelajar.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Gandipan Nantha Gopalan, langkah institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkenalkan laluan khas seperti UKMShape, SATU dan UiTMSeatPlus dilihat bercanggah dengan prinsip asal penubuhan universiti awam.
“Universiti awam bukan kilang duit. Ia dibina atas dasar kontrak sosial untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan kepada pasaran.
“Tindakan menawarkan tempat kepada laluan komersial ini adalah bentuk penswastaan secara senyap yang menggugat semangat pendidikan percuma dan akses saksama,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, PSM turut mempersoalkan keutamaan pihak universiti yang cenderung memberikan tempat kepada pelajar yang mampu membayar puluhan ribu ringgit atau bergantung pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berbanding pelajar lepasan STPM dan Matrikulasi.
“Tindakan ini tidak adil dan menekan golongan berpendapatan rendah. Bagaimana kita mahu graduan berkhidmat di kawasan pedalaman atau luar bandar jika mereka dibebani hutang yang tinggi sejak awal lagi?” katanya.
Sehubungan itu, PSM menuntut semua laluan komersial universiti awam dihentikan serta-merta dan menegaskan supaya tempat di universiti awam dikembalikan kepada pelajar-pelajar dari aliran perdana yang layak.
Tambah beliau, pihak pengurusan universiti awam juga tidak seharusnya berdiam diri terhadap isu ketidakcukupan dana, sebaliknya perlu menuntut pembiayaan yang adil daripada kerajaan.
“Jika pengurusan universiti memilih untuk bangkit dan menuntut pembiayaan yang sepatutnya daripada kerajaan, PSM akan berdiri bersama mereka.
“Universiti awam perlu kembali kepada peranannya sebagai institusi pendidikan rakyat, bukan entiti perniagaan. Pendidikan adalah hak, bukan barang dagangan,” katanya. – UTUSAN