Prosiding mahkamah bertukar majlis perpisahan Tengku Maimun

Prosiding mahkamah bertukar majlis perpisahan Tengku Maimun

TUN TENGKU MAIMUN TUAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Usai memberikan penghakiman dalam rayuan kes Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abdul Hadi, prosiding di Mahkamah Persekutuan bertukar menjadi majlis perpisahan.

Beberapa wakil peguam bangkit memberikan ucapan selamat tinggal dan hari lahir kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

Hakim Tengku Maimun akan menamatkan perkhidmatannya hari ini memandangkan esok beliau genap mencapai umur persaraan wajib manakala Hakim Abang Iskandar akan tamat perkhidmatan esok.

Peguam senior, Datuk Gurdial Singh Nijar turut dilihat sedikit sebak apabila menyampaikan penghargaannya.

“Tidak dinafikan persaraan Yang Amat Arif Tun turut disertai dengan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan dari banyak pihak termasuk para peguam.

“Walaupun kita tidak lagi melihat Yang Amat Arif duduk di kerusi hakim namun semangat Tun akan tetap ada. Saya akan sentiasa melihat Tun di situ,” kata peguam itu dalam nada sebak.

Terdahulu, Gurdial menyatakan terdapat suara yang didakwa cuba mempolitikkan isu tawaran lanjutan perkhidmatan.

“Suara yang berbunyi bukan cuba mempolitikkan tetapi keinginan yang mahukan Yang Amat Arif Tun terus menerajui kehakiman.

“Sesiapa yang mengatakan bahawa ini adalah satu cubaan untuk mempolitikkan isu sebenarnya tidak memahami peranan mahkamah itu sendiri,”ujarnya.

Tambah Gurdial, badan kehakiman telah terkesan teruk akibat krisis membabitkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamad Salleh Abas namun segalanya telah dipulihkan.

“Yang Amat Arif Tun dan Yang Amat Arif, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, di bawah teraju Yang Amat Arif berdua, integriti badan kehakiman telah dipulihkan. Bukan sahaja badan kehakiman, integriti Majlis dan Badan Peguam juga dipulihkan.

“Penghakiman-penghakiman yang dibuat bukan sahaja dihargai oleh peguam tempatan tetapi juga para peguam di dalam Komanwel,” katanya.

Ucapan serupa turut diberikan oleh peguam, Anand Raj bagi pihak Badan Peguam.

“Tun (Tengku Maimun) telah membuat ratusan penghakiman termasuk 92 penghakiman atas nama Ketua Hakim Negara. Keputusan hari ini juga boleh ditambah kepada bilangan tersebut.

“Sewaktu pandemik, Tun telah membawa perubahan kepada kehakiman bagi membolehkan prosiding secara maya (virtual proceeding).

“Yang Amat Arif membawa perubahan, peningkatan. Yang Amat Arif merupakan seorang perintis, satu inspirasi,” kata peguam itu.

Anand turut mengucapkan terima kasih badan tersebut kepada Hakim Abang Iskandar yang juga akan mencapai umur persaraan wajib esok (2 Julai).

“Yang Amat Arif telah memutuskan lebih 900 kes sepanjang berada di kerusi (hakim) itu. Kami amat berterima kasih dan menghargai setiap penghakiman yang dibuat.

“Buat Yang Amat Arif Tun dan Yang Amat Arif Presiden Mahkamah Rayuan, kami ucapkan selamat bersara dan selamat ulang tahun kelahiran,” ujarnya yang disambut dengan tepukan daripada mereka di dewan Mahkamah.

Hakim Tengku Maimun kemudian mengucapkan terima kasih di atas segala penghargaan dan sokongan yang diberikan kepada beliau dan Hakim Abang Iskandar menjalankan tanggungjawab mereka.

“Saya ucapkan terima kasih atas segala penghargaan dan ucapan yang diberikan. Terima kasih atas segala sokongan yang diberikan terhadap badan kehakiman.  Apabila badan ini ‘diserang’, anda semua mempertahankannya.

“Terima kasih dan saya ucapkan selamat maju jaya buat anda semua,” kata Hakim Tengku Maimun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN