Projek RTB Sungai Jelai lewat, proses ambil alih tanah belum selesai

Projek RTB Sungai Jelai lewat, proses ambil alih tanah belum selesai

SAIFUL Yazan Sulaiman  merasmikan Program ATV Program Sejati Madani JPKK Kampung Simat, Johol, Kuala Pilah.-UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Jelai di Johol dekat sini yang bermula April lalu kini mengalami kelewatan berikutan beberapa isu teknikal, termasuk proses pengambilalihan tanah yang masih belum diselesaikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata, terdapat beberapa kawasan yang terlibat memerlukan pelurusan sungai, sekali gus memerlukan proses pengalihan termasuk rumah ibadat yang dibina di lokasi projek.

“Antara punca kelewatan projek adalah pembinaan rumah ibadat yang dibina di tanah rizab kerajaan yang terlibat dalam proses pelurusan sungai.

“Pemindahan telah pun dimulakan secara berperingkat bagi melancarkan pembinaan projek tersebut dan Alhamdulillah projek telah pun bermula,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan ATV Program Sejati Madani Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Simat di sini.

Menurut Saiful, sebanyak sembilan lokasi telah dikenal pasti antaranya di sekitar pekan Dangi dan tokong Batu Tangga Kuala Johol yang perlu dipindahkan struktur binaan secara berperingkat.

“Pemindahan struktur tersebut bukan bertujuan untuk merobohkan tetapi  adalah untuk memindahkan rumah struktur tersebut ke lokasi yang lebih sesuai, mengikut garis panduan dan sensitiviti masyarakat setempat,” katanya.

Selain itu, Saiful berkata, kelewatan projek turut berpunca daripada proses pengambilan tanah yang masih dalam rundingan serta kelewatan penerimaan reka bentuk akhir.

“Saya masih belum boleh beri butiran penuh kerana ia masih dalam proses rundingan namun secara umumnya sungai-sungai di sekitar Johol perlu diluruskan dan itu melibatkan tanah milik individu serta tanah rizab.

“Sebaik sahaja pemindahan dan pengambilan tanah diselesaikan, kerja-kerja pembinaan projek akan berjalan seperti dijadualkan,” katanya.

Akhir tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan kerja fizikal RTB Sungai Jelai bernilai kira-kira RM 164 juta bakal bermula April tahun ini.

Menurut Saiful, projek sepanjang hampir 40 kilometer itu membabitkan kawasan Sungai Jelai dari Inas sehingga ke persimpangan Sungai Muar dan Sungai Johol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN